KPM siasat dakwaan kertas Sejarah SPM bocor

Sinar Harian
Februari 6, 2024 13:30 MYT
Fadhlina berkata, SOP sedia ada adalah sudah mencukupi bagi mengelakkan isu kebocoran kertas peperiksaan berlaku. - Gambar fail
NILAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menyiasat berhubung dakwaan berlaku kebocoran soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi kertas subjek Sejarah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh mengenai soal itu dan memberi jaminan terhadap integriti pengurusan dan pengendalian peperiksaan awam yang dilaksanakan.
"Kita akan siasat dan ambil penuh tanggungjawab ini.
"Dalam masa sama saya tegaskan, integriti kita cukup tinggi dalam mengawal dan memastikan isu peperiksaan ini dijaga dengan rapi dan dikawal dengan baik.
"SPM ini adalah peperiksaan nasional dan dari segi integriti, keselamatan dan kawalan adalah sangat ketat.
"Jadi apa saja dakwaan tentang kebocoran ini kita akan siasat," katanya ditemui pemberita selepas program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab dakwaan kebocoran kertas pemeriksaan Sejarah SPM.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Exco Pendidikan, Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin.
Mengulas lanjut berkenaan isu tersebut, Fadhlina berharap para pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM tidak terganggu dengan berita berkenaan bagi membolehkan mereka memberi fokus pada kertas peperiksaan lain.
Beliau juga berkata, prosedur operasi standard (SOP) sedia ada adalah sudah mencukupi bagi mengelakkan isu kebocoran kertas peperiksaan berlaku.
Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak RM788 juta diperuntukkan untuk pemberian BAP melibatkan seramai lebih lima juta murid yang dijangka selesai sepenuhnya 10 Februari ini.
Ujarnya, di Negeri Sembilan, sebanyak RM26,458,050 diperuntukkan untuk BAP melibatkan 176,387 pelajar di 478 buah sekolah.
Sementara itu, majlis berkenaan turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records lebih 100,000 pelajar dan guru di Negeri Sembilan yang berpakaian tema tradisional. - Sinar Harian
#KPM #kertas soalan bocor #sejarah #SPM #Fadhlina Sidek
;