KPM sedia bekerjasama dengan semua pihak di Sabah berhubung pendidikan

Bernama
Julai 18, 2020 04:14 MYT
Mohd Radzi (dua, kanan) meninjau keadaan bilik darjah Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu semasa melakukan lawatan kerjanya di sini pada Sabtu. -BERNAMA
Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia bekerjasama dengan semua pihak di Sabah dalam aspek pendidikan termasuk projek naik taraf sekolah daif, kata Menterinya Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan pelajar, guru dan warga sekolah serta suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa.
"Yang penting kita (kerajaan) dapat pastikan mereka (pelajar) dapat ke sekolah," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kerjasama KPM dengan kerajaan negeri Sabah melibatkan aspek pendidikan terutamanya projek naik taraf sekolah daif di negeri itu.
Katanya pihak kementerian akan meneliti kaedah terbaik bagi memastikan keadaan semua sekolah di setiap negeri selamat untuk semua.
Radzi berkata dalam lawatan kerjanya di sini hari ini, beliau turut meninjau keadaan di Sekolah Kebangsaan Tanjung Batu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kinabutan.
Menteri Kanan Pendidikan itu baru-baru ini berkata KPM memperuntukkan sebanyak RM1.252 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020) bagi menaik taraf dan membangunkan semula bangunan sekolah yang daif di seluruh Sabah.
Katanya peruntukan dalam RMK11 itu adalah untuk membiayai kerja-kerja naik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di 237 sekolah di Sabah manakala baki bangunan daif lain akan dinaik taraf di bawah RMK12 tertakluk kepada keupayaan kewangan kerajaan.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #KPM #pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #Radzi Jidin #Sabah #Sekolah daif #Sekolah Menengah Kebangsaan Titingan
;