KPM sasar lima tahun laksana sekolah satu sesi seluruh negara - Fadhlina

Bernama
Februari 6, 2025 14:42 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis ‘INTAN Minister’s Conversation’ di sini hari ini.- Foto Bernama
KLUANG: Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam masa lima tahun.

Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam masa lima tahun, dengan lebih 9,000 daripada lebih 10,000 sekolah telah melaksanakannya.
  • Pelaksanaan sistem ini dipengaruhi oleh pembinaan sekolah baharu dan baik pulih sekolah daif, serta kekangan tempat, premis, dan pengurusan sekolah.
  • Kementerian Pendidikan memandang serius isu ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar dan mengambil langkah proaktif untuk mengekang gejala ini yang menjejaskan lebih 20,000 pelajar sekolah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata sehingga kini, lebih 9,000 daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan sistem satu sesi manakala selebihnya belum berbuat demikian berikutan kepadatan murid.
"Sebenarnya perkembangan pendidikan di negara ini bergerak sangat baik dan ada 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi daripada lebih 10,000 yang masih lagi kita perlu uruskan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program INTAN Minister's Conversation (IMC): Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Anesee Ibrahim.
Fadhlina berkata antara perkara yang akan mempengaruhi pelaksanaan sistem itu ialah pembinaan sekolah baharu selain proses baik pulih sekolah daif.
"KPM juga perlu mengambil kira beberapa faktor kekangan (seperti) soal tempat, premis dan pengurusan sekolah itu sendiri," katanya.
Sementara itu, mengenai kebimbangan ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar, Fadhlina berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak berkompromi dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala berkenaan yang dilaporkan menjejaskan lebih 20,000 pelajar sekolah di seluruh negara.
"Jadi sebab itu pendekatan kita selain memberikan kesedaran dan juga berkaitan dengan tindakan disiplin, kita juga mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala vape ini daripada terus berleluasa dalam kalangan anak-anak kita.
"Kita akan terus berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan ia dapat benar-benar dikekang khususnya melibatkan kesihatan, disiplin anak-anak kita di sekolah dan yang paling utama bagaimana anak-anak kita ini mesti dapat kesedaran penuh tentang bahayanya vape ini," katanya.
Dalam pada itu, program hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada penjawat awam mengenai kepimpinan inklusif dalam menangani cabaran pembangunan sosial, ekonomi dan politik.
-- BERNAMA
#Fadhlina Sidek #sekolah satu sesi #Kementerian Pendidikan #sekolah seluruh negara
;