KPM pertimbang bekas atlet jadi jurulatih sekolah
Sinar Harian
Disember 12, 2023 19:05 MYT
Disember 12, 2023 19:05 MYT
SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mempertimbangkan cadangan dalam membenarkan bekas-bekas atlet negara untuk menjadi jurulatih di sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penglibatan bekas atlet merupakan satu pendekatan baik dalam melonjakkan sukan negara.
“Pada saya, pandangan tersebut sangat baik khususnya kalau mereka ini dilibatkan dalam konteks untuk meningkatkan motivasi sukan dalam kalangan anak-anak kita.
“Saya boleh berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan bagi melihat perkara-perkara tertentu yang barang kali boleh menjadi lonjakan kepada sukan khususnya di peringkat sekolah.
“Contohnya, tentang perkara yang kita lihat untuk melahirkan bakat-bakat lebih baik dengan pertolongan jurulatih yang merupakan mantan ahli sukan sebelum ini,” katanya ketika Persidangan Dewan Negara pada Selasa.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu menjawab pertanyaan Senator, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya berkenaan dasar KPM dalam membenarkan jurulatih luar untuk hadir ke sekolah dan mengajar mengikut waktu tertentu.
Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan, terdapat beberapa aspek yang perlu diteliti terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan tersebut.
Menurutnya, pihak kementerian perlu meneliti jenis latihan termasuk psikososial, cara mengurus dan perlindungan anak-anak. - Sinar Harian