KPM perlu fikirkan satu dasar berkesan untuk jayakan PdPR
Rahimah Abdullah
Jun 26, 2021 13:03 MYT
Jun 26, 2021 13:03 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memikirkan satu dasar yang berkesan bagi menjayakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Pakar Psikologi dan Kaunseling dari UPNM, Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata, ia termasuk melihat kekangan dihadapi golongan ibu bapa B40 dan kehadiran murid dalam sesi pembelajaran dalam talian itu.
"Kalau PdPR berterusan, bermakna kena fikir tentang satu dasar, bagaimana dan apa dasar perlu diadakan bagi menjayakan PdPR. Kalau nak berkesan, aktiviti apa, logistik apa.
"Sekarang ini masanya untuk kementerian memikirkan tentang ini semua termasuk bajet kerana apabila terkesan ramai ibu bapa B40 ini kurang alat, 'enggagement', dan keberadaan pelajar yang sangat penting. Sama juga dengan pelajar itu, ada di rumah, dia hanya hadir 'key' in hadir, tetapi dia tidak ada sebab dia kongsi gajet dengan abang dia, kemudian dia duduk di tempat lain," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Ujarnya lagi, kementerian berkaitan juga perlu membantu ibu bapa turut bekerja dari rumah dengan memberi kemahiran serta ilmu kepada mereka mengenai cara menangani PdPR.
Dalam masa sama, majikan perlu memberi ruang dan kemudahan kepada pekerja yang bekerja dari rumah dan seterusnya membolehkan mereka memantau anak-anak dalam pembelajaran dalam talian berkenaan.
#Astro
#Astro Awani
#pelajar
#pendidikan
#pengajaran dan pembelajaran
#Kementerian Pendidikan
#bajet
#Malaysia
#UPNM
#dalam talian
#PdPR