KPM perlu dedahkan data kehadiran murid di kelas semuka dan dalam talian

Astro Awani
Mei 25, 2021 01:15 MYT
Kehadiran murid dalam PdPR dilihat lebih kritikal dan perlu diberi perhatian. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mendedahkan data terbaharu kehadiran murid ke kelas bersemuka dan dalam talian bagi menambahbaik Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).
Aktivis Pendidikan, Zul Fikri Zamir berkata, ketika ini, tanggungjawab untuk memastikan murid hadir dalam kelas PdPR adalah antara beban tugas yang perlu dipikul guru-guru dan ia perlu diutamakan sebelum menyentuh mengenai perkara-perkara lain yang berbangkit dalam pembelajaran dalam talian.
"Kerja melaksanakan PdPR ini bukan mudah, beban guru itu pastikan anak masuk ke kelas. Kalau kelas 30 orang masuk kelas berapa sahaja. Jadi guru pastikan anak masuk kelas.
"Data kehadiran murid ketika masuk sekolah sebelum ini dan ketika PdPR, kalau KPM boleh dedahkan adalah lebih menarik. Kita bercakap macam 100 peratus pelajar masuk kelas. Itu sebab ibu bapa kena fahami bahawa secara teknikalnya untuk ajar talian ini amat mencabar," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
Menurut Zul Fikri, isu keciciran pelajar akan dapat dibincangkan dengan lebih mendalam jika data kehadiran murid semasa sesi persekolahan dibuka baru-baru ini dapat didedahkan kerajaan.
Malah, melalui pemerhatian, kehadiran murid dalam PdPR dilihat lebih kritikal dan perlu diberi perhatian.
"Saya difahamkan (kehadiran) memang rendah. Ini sekadar pemerhatian saya sebab saya memang lulusan maktab jadi kita ada kumpulan dan bincang.
"Data tersebut tidak didedahkan iaitu yang pertama, data kehadiran murid ketika sekolah dibuka semula tempoh hari, adakah data itu lebih rendah atau macam mana, dan kedua, data kehadiran murid secara online.
"Jadi dalam pemerhatian saya,dua data ini tidak didedahkan. Kalau didedahkan, baru kita akan nampak (permasalahannya)," ujarnya lagi.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan data itu tidak didedahkan kepada umum pada masa ini kerana masih dalam kajian.
"Saya rasa mereka (KPM) aware tetapi tidak dedah kepada umum mungkin sebab dalam kajian. Namun sebagai masyarakat awam, kalau dedah data, baru kita boleh tahu masalah dia," tambahnya.
Selain itu katanya, persefahaman dan kerjasama antara guru, ibu bapa dan murid itu penting dalam mengenal pasti golongan paling terbeban dengan pelaksanaan PdPR dan seterusnya memperbaiki setiap kelemahan yang timbul.
#Astro #Astro Awani #sekolah #pelajar #kerajaan #pendidikan #Kementerian Pendidikan #guru #Malaysia #pengajaran dan pembelajaran #PdPR