KPM perkukuh program KEDAP, tangani keciciran anak Orang Asli

Bernama
Disember 31, 2022 11:10 MYT
Masalah keciciran pendidikan masyarakat Orang Asli pedalaman sudah lama berakar umbi walaupun pelbagai usaha dilakukan selepas lebih 60 tahun merdeka. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkukuh pelaksanaan inisiatif Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP) sebagai usaha berterusan menangani masalah keciciran pendidikan anak Orang Asli.
Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata program KEDAP sudah lama dilaksanakan KPM yang menyediakan kelas pendidikan kepada ibu bapa masyarakat Orang Asli untuk membantu pembelajaran anak-anak di rumah selepas waktu sekolah.
Katanya, usaha itu membantu meningkatkan penguasaan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira dalam kalangan komuniti itu khususnya pelajar.
"Penyertaan ibu bapa menerusi KEDAP amat menakjubkan, malah kehadiran mereka ke kelas juga penuh. Keadaan ini akan membantu mengurangkan kesenjangan keupayaan murid Orang Asli dengan pelajar biasa.
"Pelaksanaannya akan diperkukuhkan lagi dari segi menarik minat lebih ramai ibu bapa menyertai kelas KEDAP," katanya kepada Bernama ketika menjadi tetamu bagi program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk 'Dimensi Baharu Pendidikan Malaysia' yang disiarkan di saluran televisyen itu malam tadi.
Inisiatif KEDAP diperkenalkan KPM pada 2008 bertujuan mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan Penan di seluruh Malaysia.
Laporan khas bersiri Bernama baru-baru ini mendedahkan masalah keciciran pendidikan anak-anak masyarakat Orang Asli yang berpunca daripada taraf hidup daif di pedalaman, kekurangan infrastuktur pendidikan dan kemudahan logistik yang sempurna.
Menurut Fadhlina, pendidikan melibatkan Orang Asli sentiasa menjadi tumpuan KPM sebelum dan selepas pandemik dan ia dilaksanakan secara berterusan.
Beliau berkata pelbagai langkah intervensi dilakukan kementerian itu agar komuniti berkenaan tidak keciciran termasuk menjalinkan hubungan kerjsama erat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi menguruskan kebajikan masyarakat itu.
"Soal infrastruktur serta kemudahan pembelajaran di sekolah Orang Asli serta sekolah daif di seluruh negara terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak turut menjadi tumpuan KPM untuk ditambah baik," katanya.
Sementara itu dalam perkembagan lain, Fadhlina berkata pengumuman 15 ahli Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dijangka dibuat pada pertengahan Januari ini.
Beliau berkata fokus utama MPPK ialah meneliti isu beban tugas yang ditanggung guru termasuk tugasan pengkeranian yang menjadi isu kritikal dalam kalangan pendidik di negara ini.
Selain itu katanya, MPPK juga berfungsi untuk menyumbang idea dan pandangan kepada KPM dalam merangka dan menambah baik hala tuju pendidikan negara.
"Isu guru terbeban dengan tugas selain tugas hakiki mereka, soal kebajikan menjadi keutamaan untuk KPM tangani," katanya.
Sebelum ini, Fadhlina mengumumkan MPPK diaktifkan semula seperti yang termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996, bagi menyumbang idea dan pandangan dalam merangka serta menambah baik hala tuju pendidikan negara
Beliau berkata keanggotaan MPPK terdiri daripada pihak berkepentingan dalam bidang pendidikan seperti aktivis, guru, bekas guru dan ahli akademik.
-- BERNAMA
#KPM #KEDAP #Orang Asli #Fadhlina Sidek #PM10
;