KPM perkenal DidikTV KPM mulai 17 Feb
Astro Awani
Februari 12, 2021 20:05 MYT
Februari 12, 2021 20:05 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM mulai 17 Februari ini.
Ia akan bersiaran dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari termasuk di Tutor TV ASTRO, saluran 147.
KPM dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan majlis pelancaran saluran berkenaan akan disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jam 8 pagi hari pertama siaran.
Menurut KPM, inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.
"Sebelum ini, KPM telah menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV ASTRO dan DidikTV@ntv7.
"Kini, buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.
"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM," menurut kenyataan berkenaan.
Saluran DidikTV KPM itu merupakan platform memperkasa budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.
"Saluran ini juga akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid.
"Selain itu, program antarabangsa yang bersesuaian akan turut disiarkan," kata KPM
Selain saluran 147 di ASTRO, DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV dan saluran ntv7 di TV UNIFI.
Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.
#Muhyiddin Yassin
#Kementerian Pendidikan
#pendidikan
#Tutor TV
#Astro Tutor TV
#didik tv
#DidikTV KPM