KPM pastikan saranan Agong terus dilaksana demi tambah baik pendidikan negara

Bernama
Februari 29, 2024 14:34 MYT
KPM berkata kementerian itu sentiasa proaktif dalam memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus berusaha untuk memastikan titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat di negara ini.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya merafak sembah menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda sempena pembukaan penggal ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin lepas, yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan bidang pendidikan.
Titah Sultan Ibrahim antara lain menyentuh mengenai hubungan perpaduan antara kaum yang masih belum sempurna berikutan masih ada generasi hari ini yang gagal menguasai bahasa kebangsaan dan memahami budaya hidup kaum lain.
Justeru, KPM berkata kementerian itu sentiasa proaktif dalam memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan menerusi aktiviti dalam dan luar bilik darjah.
"Melalui bahasa ini, semangat perpaduan dapat dipupuk dalam kalangan murid sejak daripada peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, KPM juga memanfaatkan teknologi dan digital secara berterusan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara, antaranya termasuk merangka Dasar Pendidikan Digital bertujuan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing dan berupaya mengguna pakai teknologi untuk pembelajaran serta memanfaatkan inovasi digital di sekolah atau di mana sahaja.
Bagi melahirkan murid berkemahiran tinggi serta memenuhi keperluan industri dan negara, KPM akan terus memperkasa bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM) serta teknikal dan latihan vokasional (TVET), malah telah menyediakan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang selari dengan hasrat tersebut.
"Menyedari kepentingan pendidikan bagi setiap warganegara tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang, KPM telah melaksanakan langkah awal dalam menyelaras pendidikan prasekolah di Malaysia agar isu keciciran ditangani dari peringkat awal," menurut kenyataan itu.
Selain itu, menurut KPM selaras dengan perjanjian Malaysia 1963 pihaknya komited dalam meneruskan rundingan dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dalam memastikan pendidikan di kedua-dua negeri tersebut dapat terus ditingkatkan untuk manfaat semua warga pendidikan.
KPM berkata pelbagai bentuk bantuan persekolahan telah disediakan kepada murid termasuklah Bantuan Awal Persekolahan, Rancangan Makanan Tambahan dan Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin bagi mengurangkan bebanan ibu bapa.
"Dalam usaha meningkatkan kecekapan dan prinsip kerja berintegriti, pendidikan karakter dan manusiawi turut diberikan perhatian di samping penekanan kepada aspek karamah insaniah bagi memastikan generasi akan datang mempunyai akhlak, berintegriti dan mempunyai jati diri yang kukuh bagi memenuhi aspirasi nasional," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #Yang di-Pertuan Agong #STEM #TVET
;