KPM pantau peruntukan SJKT seluruh negara - Kamalanathan
Bernama
April 17, 2016 07:26 MYT
April 17, 2016 07:26 MYT
Kementerian Pendidikan memantau setiap peruntukan yang disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi tujuan penyelenggaraan untuk menambah baik infrastruktur dan menaik taraf sekolah berkenaan di seluruh negara, kata Timbalan Menterinya Datuk P. Kamalanathan.
Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan peruntukan yang disalur digunakan sebaik mungkin bagi kerja penyelenggaraan sekolah terlibat dan tiada pembaziran dilakukan.
"Melalui lawatan dan pemantauan yang dilakukan setakat ini, saya berpuas hati dengan kerja penyelenggaraan menggunakan peruntukan khas yang disalurkan terutama di Melaka.
"Mereka (pihak sekolah) benar-benar melakukan kerja menaik taraf contohnya penambahbaikan kantin dan bilik guru dan ini adalah contoh yang terbaik, tanpa berlaku sebarang pembaziran," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di SJKT Ladang Jasin Lalang di sini, pada Ahad.
Terdahulu beliau turut mengadakan lawatan di SJKT Alor Gajah, SJKT Ladang Sungai Baru di Masjid Tanah dan SKJT Rumbia.
Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata sebanyak RM2.9 juta diperuntukan di 13 SJKT di Melaka termasuk empat sekolah bagi kerja penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan sekolah.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak RM3.84 juta diperuntukkan untuk membina bangunan baharu bagi SJKT Ladang Jasin Lalang yang akan dipindahkan di lokasi baharu dengan keluasan 1.6 hektar yang terletak di Taman Air Merbau Jasin di sini.
Katanya, pemindahan lokasi baharu bagi sekolah tersebut dilakukan bagi memberi peluang lebih ramai pelajar India untuk belajar di sekolah tersebut dengan kemudahan yang lebih baik.
"Sekolah ini telah beroperasi di bangunan sedia ada sejak 1947 dan lokasinya agak terpencil, terletak kira-kira 6 kilometer dari jalan besar. Hanya 50 pelajar menuntut di sekolah ini," katanya.
Beliau berkata tanah bagi pembinaan bangunan baharu sekolah tersebut telah mendapat kelulusan kerajaan Melaka dan kerja pembinaan dijangka mengambil masa 12 bulan dan bermula selewat-lewatnya September depan.
Katanya, sekolah tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan termasuk enam bilik darjah yang mampu menampung 200 pelajar, kantin, bilik guru dan bilik teknologi maklumat.