KPM pantau keadaan susulan pencemaran bau kimia di Johor Bahru

Bernama
September 9, 2024 15:28 MYT
Fadhlina hadir pada Majlis Peluncuran Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaaan di sini hari ini. - Foto Bernama
KLUANG: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa di beberapa sekolah berhampiran dengan kawasan terlibat dalam kejadian pencemaran bau kimia di Johor Bahru.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya juga akan mendapatkan cadangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta agensi berkaitan sama ada terdapat keperluan untuk sekolah ditutup atau sebaliknya demi memastikan kesejahteraan pelajar dan guru.
"Pihak pentadbir sekolah mesti mematuhi dan mengambil langkah yang digariskan dalam garis panduan yang disediakan KPM, khususnya ketika menghadapi isu pencemaran," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sekolah Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Perdana di sini hari ini.
Pada Rabu lepas, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mohd Rashdan Topa dilaporkan berkata pihaknya mengesan gas ammonia dengan bacaan kepekatan tinggi menerusi pemantauan kualiti udara yang dilakukan di Sungai Pandan, Kampung Melayu Pandan di Johor Bahru pada Selasa.
Bagaimanapun, Mohd Rashdan berkata bacaan itu kembali normal menerusi pemantauan kualiti udara yang dijalankan pada keesokan hari.
Berhubung insiden seorang bayi lelaki berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Alor Gajah, Melaka, Fadhlina merakamkan ucapan takziah kepada ibu bayi itu Sabrina Hakiem Zaini, 39, yang juga seorang guru.
"Tragedi ini sangat memberi kesan kepada kita. KPM akan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk memberikan sokongan dan dukungan psikososial kepada guru ini dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan guru ini," katanya.
Mengulas mengenai majlis pelancaran itu, Fadhlina berkata bermula tahun depan kira-kira 10,000 sekolah di seluruh negara akan meraikan hari TVET pada 2 Jun setiap tahun.
"Ia selaras dengan penegasan yang dibuat Majlis TVET Negara dan hala tuju negara yang ditetapkan melalui pendidikan. Kita harap dengan pelancaran majlis ini dan sambutan pada tahun depan akan meningkatkan lagi partisipasi anak-anak dan sumbangan pelajar TVET.
"Selain itu, ia juga selaras dengan pembangunan sebuah Kolej Vokasional (KV) Pengerang di Kota Tinggi pada 2027 yang bakal menumpukan bidang berkaitan kenderaan elektrik (EV). Insya-Allah program seumpama ini akan melahirkan lebih ramai pakar domestik dan industri dalam negara," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #Fadhlina Sidek #pencemaran bau kimia #Johor Bahru
;