KPM pantau iDME setiap jam, tambah baik dari semasa ke semasa - Fadhlina
Bernama
Januari 19, 2024 14:36 MYT
Januari 19, 2024 14:36 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau Sistem Pengurusan Identiti (iDME) setiap jam bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 KPM di sini hari ini, beliau berkata pihaknya turut mengambil langkah untuk menambah baik iDME dari semasa ke semasa bagi memudahkan warga pendidik melakukan proses pentaksiran murid.
"Jadi, pemantauan ini cukup ketat dan penambahbaikan kita buat dari semasa ke semasa. Kita pantau dengan ketat kerana kita tahu proses ini, guru atau klien kita guna sepenuhnya (iDME) untuk tujuan berkaitan pentaksiran anak-anak kita," katanya.
Semalam media melaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu KPM melihat semula penggunaan iDME dengan melaksanakan ujian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan arahan kepada guru.
iDME merupakan sistem yang dibangunkan KPM bagi membolehkan warga pendidik mengakses beberapa aplikasi yang ada dengan lebih mudah.
Mengenai desakan pelbagai pihak agar garis panduan Program Dwibahasa (DLP) disemak semula, Fadhlina berkata perkara itu tidak sepatutnya berbangkit kerana pelaksanaan DLP adalah bertepatan dengan hasrat KPM untuk memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu serta mempertingkat penguasaan Bahasa Inggeris.
"Isu DLP ini kita tangani dari semasa ke semasa dan kita sudah beri penegasan kita. Maknanya setiap kali ditanya, kita kekal dengan keputusan kita, ada garis panduan yang perlu dipatuhi," katanya.
DLP diperkenalkan secara rintis pada 2016 di bawah Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Ia bertujuan memberi peluang kepada murid untuk meningkatkan akses bagi penerokaan pelbagai bidang ilmu untuk bersaing di peringkat global dan meningkatkan kebolehpasaran murid dalam alam pekerjaan.
-- BERNAMA