KPM nilai semula subtopik yang tidak selari dengan keperluan murid

Bernama
Ogos 24, 2023 17:24 MYT
Program tersebut disebar luas ke semua sekolah mulai Mac 2023 bermula dengan Tahun Satu, manakala bagi Tahun Dua dan seterusnya akan diedarkan secara berperingkat sehingga selesai. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan tindakan segera bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran, dijalankan secara efektif dengan menilai semula subtopik yang berat dan tidak selari dengan keperluan murid.
KPM melalui kenyataan hari ini memaklumkan tindakan tersebut, dijalankan merujuk kepada aras yang ditetapkan dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
"KPM menghargai pandangan serta cadangan daripada pemegang taruh dan masyarakat umum berkaitan kurikulum persekolahan yang sedang dilaksanakan di semua sekolah termasuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Semakan 2017 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)," menurut kenyataan itu.
Selain itu, KPM juga melaksanakan program Modul Bimbingan (MOBIM) untuk mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, sebagai inisiatif membantu guru memahami kurikulum dan melaksanakan PdP dengan lebih berkesan.
Program tersebut disebar luas ke semua sekolah mulai Mac 2023 bermula dengan Tahun Satu, manakala bagi Tahun Dua dan seterusnya akan diedarkan secara berperingkat sehingga selesai.
Sebagai langkah ke hadapan, KPM memaklumkan seramai 1,600 orang yang melibatkan guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri, telah dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvensyen Kurikulum bagi membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.
"Sesi tersebut memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat mengemukakan pandangan, KPM juga akan melaksanakan satu Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian, mulai 25 Ogos sehingga 15 Sept 2023 melalui pautan: https://bit.ly/KurikulumKita2027," menurut kenyataan itu.
KPM sentiasa berusaha untuk terus memastikan murid dan guru berada dalam ekosistem kurikulum yang membangun potensi akademik dan sahsiah.
-- BERNAMA
#KPM #Kementerian Pendidikan #pengajaran dan pembelajaran #nilai semula subtopik
;