KPM nilai prestasi pelajar secara holistik

Astro Awani
Jun 21, 2022 22:33 MYT
Pkharuddin berkata, adalah tidak adil untuk menilai prestasi sesebuah sekolah dan pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan yang diterima. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengeluarkan susunan kedudukan prestasi sekolah seperti yang tular sebelum ini.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), Datuk Pkharuddin Ghazali, sejak 2016 kementerian telah memutuskan untuk tidak menyusun kedudukan prestasi sekolah.
Jelas beliau, adalah tidak adil untuk menilai prestasi sesebuah sekolah dan pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan yang diterima.
"Tidak adil untuk kita letak yang terbaik, yang rendah. Memanglah kita nak yang terbaik tapi kita jangan lupa, sebahagian besar anak-anak kita ini mereka yang punya potensi yang cukup tinggi.
"Kita tak nak perkara ini menjadi satu fokus dalam masyarakat kita. Kita nak lihat apabila kita melaksanakan pendekatan Pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) ini, kita melihat anak itu secara holistik," katanya ketika ditemu bual dalam program Agenda AWANI yang membincangkan tentang Penilaian Prestasi SPM 2021.
Beliau juga menjelaskan sejak beberapa tahun kebelakangan ini KPM lebih menumpukan kepada kemahiran yang diperolehi oleh pelajar.
"Sebab itu susunan kedudukan ini kita sudah tidak keluarkan, kita bercakap tentang kemahiran yang mereka dapat.
"Kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir asas tinggi, kreativiti mereka, pemikiran yang kritis, ini yang kita nak develop. Sebab anak-anak kita ini hebat, potensi mereka sangat luas," katanya lagi.
Pkharuddin yakin pelajar-pelajar akan berjaya dalam peperiksaan kerana mahu ke sekolah disebabkan ada perkara yang menarik minat mereka.
#Kementerian Pendidikan Malaysia #KPM #SPM #ranking sekolah
;