KPM naik taraf 384 institusi seluruh negara sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan

Bernama
Jun 2, 2024 10:10 MYT
Fadhlina menyampaikan anugerah DUTA kepada sekolah yang berjaya memenangi anugerah pada program di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Wong (kanan) dan Syed Ibrahim (kiri). --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menaik taraf 384 institusi pendidikan di seluruh negara untuk dilengkapi dengan kemudahan digital bagi dijadikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan (COE) pada tahun ini.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata kerja menaik taraf di kesemua institusi terlibat termasuk Pusat Kegiatan Guru (PKG) adalah bagi usaha pembudayaan digital dengan pembekalan studio digital dan hab pembuatan digital untuk memantapkan kemahiran dan kompetensi guru.
"Jadi sebab itu kita mengangkat dan mengambil inisiatif menambah baik pusat kegiatan guru ini di 384 (tempat) dalam usaha kita mempersiapkan pusat kecemerlangan ini.
"Maksudnya di sini pusat kegiatan guru dan pusat-pusat yang terkait rapat dengan teknologi ini akan dilengkapi dengan bahan digital dan menjadi pusat tumpuan untuk para guru meningkatkan kompetensi mereka dan anak-anak murid," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah 'Digital Utilisation and Technology' (DUTA) Peringkat Kebangsaan tahun 2023 dan melancarkan pameran MyDigitalMaker Fair (MDMF) 2024 di Pusat Sains Negara di sini semalam.
Turut hadir timbalannya Wong Kah Woh dan Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Syed Ibrahim Syed Noh.
Sementara itu, Fadhlina sekali lagi menegaskan KPM tidak akan berkompromi dengan sebarang isu terhadap salah guna kuasa melibatkan disiplin yang terkait dengan guru di sekolah.
Malah, menurutnya beliau telah mengeluarkan kenyataan yang cukup tegas berhubung perkara tersebut terutamanya jika ia membabitkan soal kebajikan murid.
"Kes ini telahpun kita serahkan kepada pihak berkuasa dan kita sedang menunggu laporan berkaitan untuk dibawa ke peringkat kementerian. Sebagaimana kenyataan kita, kita tidak kompromi dan kita memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan," katanya.
Beliau mengulas mengenai kes seorang pelajar sekolah rendah yang jatuh sakit selepas didenda berdiri di tengah panas selama hampir tiga jam.
Mengenai kedudukan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) Datuk Dr Roslan Hussin berikutan kontroversi dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR baru-baru ini, Fadhlina yang juga Ketua Wanita PKR berkata Roslan masih lagi menjalankan tugasnya di pejabat seperti biasa.
"Setakat ini kita tidak menerima sebarang maklumat berkaitan dengan pelantikan beliau itu. Jadi, saya minta beliau untuk fokus kepada JPNS, lakukan tugas biasa. Beliau masih lagi pengarah dan masih penjawat awam," katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua pemimpin pembangkang mempersoalkan pelantikan seorang penjawat awam kanan dari Negeri Sembilan sebagai seorang daripada tiga ahli MPP PKR yang baharu.
-- BERNAMA
#Fadhlina Sidek #naik taraf #Pusat Kecemerlangan Pendidikan #digital
;