KPM mohon tangguh pengosongan bangunan SK Assumption
Bernama
Januari 24, 2022 20:11 MYT
Januari 24, 2022 20:11 MYT
GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Assumption di Butterworth sehingga Mac 2022 serta membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru ke sekolah berhampiran.
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketetapan itu diambil berdasarkan trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun, yang mana pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid 53 orang.
Menurut KPM, terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35km hingga 5.8km iaitu SK Kuala Perai, Butterworth; SK Sungai Nyior; SK St Mark, Butterworth; SK Khir Johari; dan SK St Mark, Perai.
Kementerian itu berkata penyuraian ini dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana ke sekolah lain.
"Mengambil kira sesi persekolahan sedang berlangsung, KPM telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat Sesi Persekolahan Penggal 3, 2021/2022 pada bulan Mac 2022.
"KPM akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023," katanya.
SK Assumption adalah sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah dimiliki oleh Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd sejak 2008, bagaimanapun, pada 3 Nov lepas, syarikat tersebut memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut secepat mungkin kerana syarikat telah menerima tawaran pembelian daripada pihak ketiga.
-- BERNAMA