KPM, MoF laksana program 'Anak Kita' atasi isu keciciran pembelajaran
Bernama
September 24, 2024 21:28 MYT
September 24, 2024 21:28 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kewangan (MoF) hari ini mengumumkan kerjasama bagi melaksanakan program 'Anak Kita' sebagai usaha menangani masalah keciciran pembelajaran dalam kalangan rakyat negara ini.
KPM dan MoF dalam kenyataan bersama memaklumkan program berkenaan menumpukan kepada usaha meningkatkan literasi dan numerasi dalam kalangan murid, mempertingkatkan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan.
"Program pemulihan pembelajaran yang akan dilaksanakan merangkumi intervensi yang disasarkan termasuk kelas pemulihan, latihan guru dan alat pembelajaran digital," menurut kenyataan itu.
KPM dan MoF memaklumkan Program Anak Kita yang akan dilancarkan Jumaat ini dikelolakan oleh kedua-dua kementerian itu dengan kerjasama Yayasan Hasanah serta organisasi korporat, pertubuhan masyarakat sivil, universiti awam, syarikat berkaitan kerajaan dan organisasi antarabangsa.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan sama berkata berdasarkan statistik Lembaga Peperiksaan, sebanyak 10,160 calon atau 2.65 peratus daripada 395,870 calon yang berdaftar untuk SPM tidak hadir peperiksaan itu tahun lepas.
"Sebanyak 6.5 peratus daripada jumlah calon bersamaan dengan 25,735 pelajar tidak layak menerima sijil SPM mereka," katanya bagi menjelaskan situasi keciciran pembelajaran di Malaysia pada masa ini.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha menangani keciciran pembelajaran perlu kerana pendidikan adalah asas kepada pembangunan modal insan yang menjadi aset kepada kemakmuran ekonomi negara.
Beliau berkata pemilikan kelayakan SPM adalah satu perkara yang kritikal untuk memperkasakan belia dan memastikan penyertaan produktif dalam tenaga kerja.
"Pendidikan yang baik dapat membina generasi yang mempunyai keperibadian baik dan kemahiran intelektual yang amat diperlukan untuk memacu ekonomi yang mampan seperti yang digariskan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI.
"Melalui peningkatan pendidikan, rakyat mampu keluar dari kemelut kemiskinan sekali gus mengangkat lantai ekonomi keluarga bagi jangka masa panjang sejajar hasrat kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan di negara ini," katanya.
-- BERNAMA