KPM, MoF bincang naik kadar RMT dalam usul Bajet 2023

Umar Sadique
Julai 25, 2022 18:12 MYT
Menteri Kanan pendidikan, Datuk Radzi Jidin pada Program Eksplorasi Alam Lestari Zoo Negara, di sini, hari ini. - Gambar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung cadangan menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk dibawa ke dalam usul Bajet 2023.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin, berkata perkara itu memerlukan penelitian yang terperinci, kerana mempunyai implikasi yang besar dari segi kewangan.
Beliau berkata, pihaknya sedang dalam proses untuk menyiapkan kertas untuk dibawa ke peringkat akhir.
"Berkaitan dengan kos (kadar) RMT itu yang dikatakan terlalu rendah, perkara itu pun kita sedang dan akan terus bincang dengan MOF, bagi memastikan kita mengambil kira semua aspek sebelum sebarang pertimbangan dibuat," katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara hari ini.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
Mengenai isu kuarters guru yang terbiar, Radzi memaklumkan perkara itu berlaku disebabkan oleh lokasi kuarters yang tidak strategik dan permintaan yang kurang untuk menetap di kuarters berkenaan.
"Isu ini melibatkan dua konteks, pertama ada kuarters-kuarters yang lokasinya mendapat permintaan yang tinggi, kedua ada kuarters yang dibina di kawasan yang tidak ada permintaan khususnya, apabila kos untuk duduk di luar lebih murah dan ada juga kuarters ini yang dibina di lokasi yang tidak sesuai.
"Ini isu legasi yang telah lama berlarutan kami di kementerian sedang mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan perkara ini," katanya.
#KPM #Radzi Jidin #RMT #Bajet 2023
;