KPM laksana 'Zero Reject Policy' untuk murid berkeperluan khas bermula 2019
Azyyati Ahmad
Disember 19, 2018 18:30 MYT
Disember 19, 2018 18:30 MYT
Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Zero Reject Policy secara berperingkat bermula tahun 2019 bagi murid berkeperluan khas (MBK).
Zero Reject Policy merupakan dasar sedia ada yang dimantapkan daripada segi pelaksanaannya bagi memastikan MBK menerima pendidikan yang selari dengan ketidakupayaan mereka sama ada ke sekolah sekolah arus perdana melalui Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Inklusif atau ke Sekolah Pendidikan Khas.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Datuk Yasmin Hussain, kedua-dua pilihan sekolah berkenaan disediakan dari peringkat prasekolah, rendah, menengah dan lepas menengah.
Katanya, tempoh percubaan tiga bulan juga akan diberi seperti yang terkandung dalam kod amalan pendidikan berkeperluan khas yang bertujuan menentukan penempatan MBK berdasarkan potensi masing-masing.
“Tiga bulan tempoh percubaan ini adalah bagi memberi masa kepada guru-guru untuk melihat keupayaan murid-murid. Adakah murid-murid ini perlu diintegrasikan, inklusif atau ke sekolah pendidikan khas.
"Kita juga nak melihat kekuatan dan kelemahan pelajar itu supaya guru boleh menyediakan rancangan pendidikan individu dan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) pelajar," katanya dalam satu taklimat kepada media pada Rabu.
Katanya, 2019 merupakan tahun yang akan melihat perubahan besar terhadap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang mana semua jenis ketidakupayaan daripada pelbagai aras boleh ditempatkan di sekolah.
Semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan akan dilengkapi kemudahan mesra OKU secara berperingkat bermula dengan sekolah pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi, katanya lagi.
Oleh itu, tambahnya, ibu bapa boleh disabitkan kesalahan di bawah Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) sekiranya gagal mendaftarkan persekolahan anak-anak OKU jika mencapai umur 6 tahun.
Setakat ini, hanya 170 sekolah menyediakan empat kemudahan lengkap mesra OKU terdiri daripada susur tangan, susur landai, tandas oku dan parkir OKU.
Selain itu, kursus peningkatan profesionalisme guru secara berterusan berdasarkan ketidakupayaan MBK juga akan dimulakan tahun hadapan yang akan melibatkan penyertaan daripada guru-guru arus perdana dan guru pendidikan khas dari peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah.
Tambah Dr Yasmin, Kementerian juga akan menambah latihan kepada para guru untuk pelajar-pelajar autisme seawal Februari tahun hadapan.
Kementerian juga menyasarkan 75 peratus kanak-kanak dalam Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di tempatkan di sekolah arus perdana menjelang tahun 2025.
#Kementerian Pendidikan
#murid berkeperluan khas
#OKU
#PPKI
#Program Inklusif
#Program Pendidikan Khas Integrasi
#Yasmin Hussain
#Zero Reject Policy