KPM laksana sesi Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara - Wong

Bernama
Februari 27, 2024 22:15 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Won berucap pada Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan sesi libat urus 'Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara' bagi mengumpul maklum balas dan cadangan penambahbaikan pembentukan pelan pendidikan baharu yang memenuhi keperluan masa terkini.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata sesi tersebut melibatkan semua wakil berkaitan pendidikan termasuk Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK), pendidikan awal kanak-kanak dan kumpulan pendidikan inklusif.
"Program yang meliputi beberapa siri sesi libat urus ini bertujuan mengenal pasti cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia bagi memberi tumpuan terhadap pendidikan manusiawi yang memartabatkan ilmu pengetahuan, berikutan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kini hampir sampai ke penghujung.
"Di samping itu, ia akan menekankan aspek kemanusiaan yang seimbang dan berupaya memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Sesi Libat Urus Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara 2024 pertama yang disertai lebih 100 wakil di sini, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 724 cadangan telah dikemukakan menerusi sesi itu, antara lain merangkumi 175 cadangan berkenaan dasar pendidikan, 167 berkenaan hal ehwal murid dan 126 berkenaan hal ehwal guru.
"Semua cadangan yang dikemukakan sememangnya ada yang telah dalam pelaksanaan oleh pihak kementerian dan kita akan pergiatkan lagi. Untuk cadangan baharu, KPM mengambil maklum dan kita akan memberi penekanan dan pertimbangan yang sewajarnya," katanya.
Wong berkata sesi libat urus kali ini merupakan satu daripada lima siri jelajah yang akan dijalankan di seluruh negara sepanjang tempoh Februari sehingga Julai ini.
"Ia akan diikuti dengan lima perbincangan kumpulan berfokus dan sesi Town Hall yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang tempoh Ogos sehingga Disember," katanya.
Beliau berkata hala tuju sistem pendidikan baharu diharapkan dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran serta mempunyai nilai dan adab dan seterusnya dapat memenuhi pekerjaan masa hadapan.
-- BERNAMA
#KPM #Jelajah Masa Depan Pendidikan Negara #Wong Kah Woh #Kementerian Pendidikan
;