KPM laksana program pendidikan untuk kanak-kanak rumah amal GISB

Bernama
Oktober 3, 2024 13:30 MYT
Program berkenaan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA), bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak terbabit.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah melaksanakan program pendidikan untuk kanak-kanak rumah amal GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang sedang mendapat perlindungan pihak berkuasa, bermula Selasa lepas (1 Okt).
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan program pendidikan itu, yang melibatkan seramai 68 guru, dirangka khusus untuk memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak terlibat bagi mengelakkan keciciran pembelajaran.
Menurut kenyataan, program berkenaan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA), bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.
"Kit ini memberi penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri dan seterusnya sebagai persediaan holistik termasuk penguasaan literasi dan numerasi.
"Modul yang digunakan turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri, serta memupuk keseimbangan dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek (JERSI) sebagai persediaan untuk menyesuaikan mereka dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu," katanya.
Selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, KPM komited untuk memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir.
-- BERNAMA
#GISB #Kementerian Pendidikan #Jabatan Kebajikan Masyarakat #program pendidikan
;