KPM laksana pelbagai inisiatif perkasa sistem pendidikan

Bernama
Mei 10, 2024 20:45 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Majlis Peluncuran Karnival HIP (Highly Immersive Programme) 2024 peringkat negeri Pulau Pinang di SMK Saujana Indah hari ini. - Foto BERNAMA
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasakan sistem pendidikan negara, selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang mahukan langkah lebih proaktif dalam meningkatkan sistem dan kualiti sektor itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif berkenaan termasuk menubuhkan enam pasukan petugas khas KPM bagi menambah baik sistem prasekolah, intervensi kurikulum, memperkukuh Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan digital.
Beliau menjelaskan petugas khas yang ditubuhkan itu turut meliputi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pengukuhan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
"Dalam pada itu, inisiatif intervensi kurikulum juga sedang giat berjalan bagi memastikan keciciran pembelajaran dapat ditangani.
"Untuk jangka panjang, kementerian telah melancarkan kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 yang holistik dan relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival HIP Peringkat Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah di sini hari ini.
Fadhlina berkata KPM merafak sembah titah Tunku Mahkota Ismail yang turut menyentuh beberapa perkara melibatkan reformasi pendidikan negara, ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 semalam.
Tunku Mahkota Ismail bertitah kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam usaha meningkatkan sistem dan kualiti pendidikan negara, selain perubahan penting perlu dilaksanakan dengan membaharui sukatan pelajaran yang digunakan pada masa ini.
-- BERNAMA
#KPM #Kementerian Pendidikan #inisiatif #sistem pendidikan #Fadhlina Sidek
;