KPM, KPDNHEP bekerjasama tangani isu jualan vape kepada murid sekolah

Bernama
Julai 21, 2019 07:00 MYT
KPM dalam kenyataan pada Ahad berkata berdasarkan pemantauan yang dibuat, ia mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah.
Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengatasi masalah penjualan rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah.
KPM dalam kenyataan pada Ahad berkata berdasarkan pemantauan yang dibuat, ia mendapati jualan bahan-bahan tersebut adalah di luar kawasan sekolah.
"KPM memandang serius isu jualan bahan terlarang seperti rokok elektronik dan vape kepada murid sekolah yang ditularkan sejak beberapa hari lalu.
"Sehubungan itu, bagi memastikan perkara ini tidak berleluasa, KPM akan bekerjasama dengan KPDNHEP untuk membendung jualan bahan-bahan terlarang itu terutama kepada murid sekolah," menurut kenyataan itu.
KPM memberitahu ia turut mengambil langkah sewajarnya dalam memberi pendedahan tentang larangan membeli dan bahaya penggunaan bahan-bahan seumpama itu dari sudut kesihatan.
Ia mengingatkan ibu bapa untuk memantau kegiatan anak-anak yang menjurus ke arah penggunaan bahan terlarang itu.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #KPDNHEP #penjualan vape kepada murid sekolah #rokok elektronik #vape
;