KPM komited jadikan semua sekolah seluruh negara sekolah digital

Bernama
Februari 27, 2025 06:00 MYT
Azman (kiri) menunjukkan tablet yang digunakan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Telok, Batu Pahat, untuk memainkan muzik tradisional gamelan, yang telah dimodenkan sepenuhnya dalam bentuk digital. -fotoBERNAMA
BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menjadikan semua 10,237 sekolah di negara ini sebagai sekolah digital sekali gus melahirkan pelajar yang celik dan fasih menggunakan teknologi terkini.
Ketua Pengarahnya Azman Adnan berkata sasaran tersebut disokong dengan pencapaian 90 peratus akses penggunaan Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital (DELIMa) oleh golongan pendidik dan keaktifan pelajar mengaplikasikan teknologi digital.
Beliau berkata ia juga berlandaskan enam teras strategik merangkumi Murid Fasih Digital, Pendidik Kompeten Digital, Budaya Kepimpinan Digital Berwawasan, Pengupayaan Infostruktur dan Infrastruktur, Kandungan Digital Berkualiti serta Rakan Strategik Yang Komited.
"Enam sekolah kini menjadi perintis dengan anjuran Yayasan Didik Negara (YDN) melibatkan lima di Sabah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan, SK Pengalat Kecil, SK Buang, SK Tansau dan SK Pekan Putatan serta SK Seri Telok, Batu Pahat di Johor.
"Sebuah sekolah di Pulau Pinang iaitu SK Pulau Aman turut disarankan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk menjadi sekolah digital ketika lawatan beliau," katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Sekolah Digital di SK Seri Telok di sini semalam.
Mengulas lanjut, Azman berkata Batu Pahat merupakan daerah tertinggi di negara ini dalam penggunaan inisiatif DELIMa dengan 90 peratus adalah daripada golongan pendidik dan 45 peratus melibatkan pelajar.
Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti jualan penjaja dan makanan ringan di depan sekolah, beliau berkata KPM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memantau penjualan makanan yang boleh membahayakan pelajar.
Beliau berkata langkah berkenaan perlu dilakukan kerana KPM hanya bertanggungjawab terhadap makanan yang dijual di kantin sekolah selain tidak membenarkan aktiviti jualan dijalankan sekitar 40 meter dari kawasan sekolah.
"Kita juga percaya PBT melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempunyai garis panduan sewajarnya untuk mengatasi aktiviti terbabit selain turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Di atas kesedaran ini pihak sekolah perlu memastikan pelajar hanya membeli makanan yang dijual di kantin bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti keracunan dan sebagainya," katanya.
--BERNAMA
#sekolah digital #Azman Adnan #DELIMa #penjaja di luar sekolah
;