KPM kembali beri fokus kepada 3M

Astro Awani
Disember 7, 2023 20:30 MYT
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kemahiran asas literasi itu difokuskan kembali agar kemiskinan pembelajaran dapat dikurangkan. - Gambar fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Menyedari bahawa Malaysia belum berada dalam kedudukan yang baik dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA), Kementerian Pendidikan (KPM) akan kembali memberi fokus kepada kemahiran asas literasi membaca, menulis dan mengira (3M).
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, kemahiran asas literasi itu difokuskan kembali agar kemiskinan pembelajaran dapat dikurangkan.
Fadhlina juga menjelaskan, KPM telah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Literasi dan Numerasi (PLaN), Modul Bimbingan (MOBIM) dan Program STEM Executive Consultation (STEMEC) bagi menangani kesenjangan pembelajaran.
Beliau menjelaskan, kesenjangan pembelajaran ini adalah isu bersama dan perlu ditangani dengan cara berbeza dan lebih kreatif untuk mendapatkan impak yang lebih ketara.
"KPM juga komited dalam memastikan murid menguasai literasi asas membaca, menulis dan mengira (3M) seawal yang mungkin bagi membolehkan mereka bersedia mengikuti pembelajaran pada tahap seterusnya.
"Kegagalan untuk menguasai kemahiran asas ini akan mengekang murid daripada merealisasikan potensi mereka.
"Intervensi awal akan diberikan bagi membantu murid yang menghadapi masalah menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum murid berpindah ke tahap II dan tahap III," katanya pada Program Bual Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 pada Rabu.
Mengulas lanjut, Fadhlina menjelaskan, Kurikulum Persekolahan 2027 akan memperkasa pelaksanaan pentaksiran bilik darjah.
Beliau memaklumkan, Pentaksiran Bilik Darjah bertujuan untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran diubah suai bagi meningkatkan tahap penguasaan murid.
"Guru akan menilai proses pembelajaran yang dilalui oleh murid secara holistik bagi membantu murid meningkatkan keupayaan dan potensi mereka dalam tugasan yang diberi.
"Tumpuan tidak lagi diberikan kepada hasil tugasan semata. Dengan cara ini, proses pengajaran dan pembelajaran akan lebih fleksibel, menyeronokkan dan bermakna bagi guru dan murid," katanya lagi.
Menurut Fadhlina, Kurikulum Persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat, dimulai dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada tahun 2027.
Bagi murid prasekolah, kurikulum kebangsaan yang baharu akan diperkenalkan bermula pada tahun 2026.
#Fadhlina Sidek #Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa #PISA #KPM #3M #membaca #menulis #mengira
;