KPM kaji segala sudut hapuskan buli di sekolah - Radzi Jidin

Fareez Azman
Disember 16, 2021 18:04 MYT
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Jidin memberitahu pihaknya kini sedang mengkaji pelbagai sudut dalam memastikan gejala buli di sekolah dapat dihapuskan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji segala sudut dalam menangani isu buli di sekolah.
Menurut Menteri Kanannya, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, ia termasuk sudut pemantuan, sistem pelaporan melibatkan ibu bapa, penghukuman dan penyedaran kepada pelajar terlibat.
"Dalam konsep menyelesaikan perkara ini kita kena lihat holistik, kita tak boleh lihat satu komponen sahaja.
"Kita kena lihat keseluruhan ekosistem untuk memastikan membanteras buli itu menjadi kenyataan. Saya jelaskan di Parlimen tempoh hari, berkaitan pelaporan itu sangat penting.
"Adakah sistem pelaporan ketika ini telah mencukupi atau kita perlu sistem pelaporan baharu. Sebab itu KPM sedang melihat sistem pelaporan terus kepada ibu bapa," jelasnya.
BACA: Kes buli MRSM Kuala Kangsar: 10 pelajar ditamatkan pengajian - KP Mara
BACA: Ditegur jangan tonton video lucah punca kes buli MRSM - Ketua Polis Perak
Mengulas lanjut tambah Mohd Radzi, pendekatan memberi kesedaran juga tidak boleh diketepikan dalam memastikan pelajar terlibat dalam kes buli masih diberi peluang demi masa depan mereka meskipun tetap akan menerima hukuman.
"Kita juga ada hukuman, apakah hukum itu setimpal, sebab itu kita perlu lihat konteks ini secara menyeluruh, pelaporan, pemantauan, penghukuman dan penyedaran.
"Kesedaran dalam konteks buli ini, bagaimana kita hendak didik anak kita tindakan rasional, rasa empati terhadap orang lain.
"Ada juga sesetengah sekolah asrama itu dirasakan (buli) satu tradisi, ini bukan tradisi, benda tidak betul itu perlu dibanteras," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Putrajaya pada Khamis.
Buli Sekolah | Polis tahan empat pelajar disyaki suspek
Selasa lalu, 10 pelajar berumur 13 ke 15 tahun dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar ditamatkan pengajian selepas didapati terlibat dalam kes buli seorang pelajar.
Menurut Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Azhar Abdul Manaf, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Displin Pelajar MRSM.
Ia selepas satu video tular di laman sosial memaparkan seorang pelajar sedang dibuli sekumpulan pelajar lain di dalam bilik asrama.
Isu terbabit kemudiannya membawa kepada penahanan kesemua suspek bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
#buli #Kuala Kangsar #Mohd Radzi Md Jidin #KPM
;