KPM jamin wang BAP lebih RM100,000 dilarikan penjenayah diganti sebelum Mac
Hilmi Malik
Januari 19, 2023 18:09 MYT
Januari 19, 2023 18:09 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan wang peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dilarikan penjenayah dalam kejadian di Semenyih, Isnin lalu, akan diganti semula sebelum sesi persekolahan Mac.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM terkilan dengan insiden berkenaan namun pada masa sama akan berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung gantian wang berkenaan.
"Duit yang hilang itu akan diganti semula, jangan risau. Itu hak anak-anak," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 KPM di Putrajaya pada Khamis.
Mengulas mengenai guru besar yang terlibat dalam kejadian berkenaan, Fadhlina memberitahu kes tersebut juga akan disiasat berdasarkan tatatertib penjawat awam.
Selain itu, KPM juga menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan lanjut.
"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sudahpun bertemu dengan guru besar berkenaan dan mereka akan umumkan hasil siasatan itu kemudian," katanya.
Pada Isnin lalu wang tunai BAP berjumlah RM109,000 dikeluarkan seorang guru besar hilang selepas dilarikan penjenayah di Pekan Semenyih.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memaklumkan, polis tidak menerima sebarang permohonan pengiring bagi pengeluaran wang berkenaan.
Guru besar yang berusia 50 tahun itu sebelum ini menyatakan sudah biasa berurusan bersendirian ketika mengeluarkan wang tanpa menggunakan khdimat pengiring sejak 10 tahun lalu.