KPM jamin tiada pensyarah diberhentikan kerja akibat gabung UMT dan UniSZA

Bernama
September 13, 2019 10:15 MYT
Maszlee pada sesi townhall Menteri Pendidikan Malaysia Bersama Mahasiswa di UiTM Kampus Puncak Alam, 12 Sept, 2019. --fotoBERNAMA
Kementerian Pendidikan memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku pengurangan pensyarah akibat penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Menterinya Dr Maszlee Malik berkata dengan penggabungan berkenaan, pensyarah akan menjadi lebih dinamik, berdaya saing dan para pelajar akan menjadi lebih berdaya saing di dalam merebut peluang pekerjaan.
"Ketika ini penggabungan dua universiti ini masih di peringkat perancangan, jemaah menteri secara prinsipnya telah bersetuju dan telah menubuhkan satu jawatankuasa yang berfungsi untuk mengkaji dan bertemu dengan pihak berkepentingan.
"Tujuan penggabungan ini adalah untuk membentuk satu universiti di Terengganu yang akan menjadi rujukan antarabangsa dalam bidang maritim dan beberapa bidang yang lain dan setakat ini pencapaian UMT dan UniSZA belum melayakkan mereka untuk menjadi universiti rujukan antarabangsa.
"Kita pelajari apa berlaku (universiti) di Manchester (England), Australia dan Amerika Syarikat apabila gabung universiti dapat mengumpulkan ahli akademik dan kajian," katanya dalam sidang akhbar selepas sesi townhall Menteri Pendidikan Malaysia Bersama Mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini pada Khamis.
Sesi berkenaan dihadiri oleh kira-kira 1,500 warga UiTM.
Turut hadir Naib Canselor UiTM Dr Mohd Azraai Kassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.
BACA: Mahasiswa bantah gabung UMT, UniSZA
BACA: Cadangan gabungan manfaatkan kedua-dua universiti - NC UniSZA
Pada Rabu, beberapa pihak menyuarakan bantahan berhubung, penggabungan UMT dan UniSZA kerana ia bukan saja akan menghilangkan identiti institusi pengajian tinggi itu malah khuatir penggabungan berkenaan akan melibatkan pengurangan tenaga kerja.
Terdahulu Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dalam satu kenyataan berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA dan persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada 4 September lepas.
Kata kenyataan itu lagi, Kementerian Pendidikan amat positif dengan cadangan penggabungan itu dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.
Sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai oleh wakil daripada kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar serta wakil daripada pelbagai agensi dan kementerian serta pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa enam bulan.
-- BERNAMA
#gabung universiti #jawatankuasa #jemaah menteri #Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #menghilangkan identiti #pendidikan #pensyarah #terengganu #umt #UniSZA #universiti malaysia terengganu #universiti rujukan antarabangsa #Universiti Sultan Zainal Abidin
;