NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian seorang pelajar sekolah di Kajang, Selangor yang dilaporkan parah selepas dipercayai jatuh dari tingkat lima bangunan pada Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia semalam.


Ringkasan AI
  • Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan dalaman dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian seorang pelajar yang jatuh dari tingkat lima bangunan sekolah di Kajang hingga meninggal dunia.
  • Menteri Fadhlina Sidek mengucapkan takziah kepada keluarga dan menyatakan komitmen KPM terhadap keselamatan pelajar, serta mengambil langkah intervensi kaunseling psikososial untuk menyokong keluarga mangsa, rakan-rakan, dan sekolah.
  • KPM akan mempertingkatkan usaha menangani gejala buli dengan garis panduan dan peraturan sedia ada untuk mengendalikan insiden buli membabitkan pelajar sekolah.


Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata pada masa sama, KPM juga menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan terperinci untuk mengetahui punca sebenar kejadian termasuk jika terdapat unsur buli.

"Saya rakamkan ucapan takziah kepada keluarga, rakan-rakan dan sekolah. Saya fikir ini tak mudah untuk semua pihak kerana kejadian ini berlaku di sekolah, tetapi saya ingin ingatkan keselamatan dan bagi pihak KPM kita tak kompromi soal keselamatan.

"Jadi dari semasa ke semasa kita sentiasa mengingatkan pihak sekolah tingkat keselamatan anak-anak (di sekolah) dan ini kejadian yang sangat mendukacitakan, kita benar-benar terkesan dengan kejadian tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyertai program bersama kumpulan ibu dan wanita berkaitan penjagaan wajah serta fisioterapi di Taman Puteri Gunung di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata KPM telah mengambil langkah intervensi penting selepas kejadian itu dengan memberi tumpuan kepada kaunseling psikososial dan memberikan sokongan penuh kepada keluarga mangsa, rakan-rakan dan sekolah.

Beliau berkata KPM juga menyasarkan untuk mempertingkatkan usaha dalam isu menangani gejala buli di semua peringkat terutama dengan garis panduan dan peraturan yang telah diwujudkan berhubung pengendalian insiden buli membabitkan pelajar sekolah.

Media melaporkan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun yang cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima bangunan sekolah di Kajang pada Jumaat meninggal dunia awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata mangsa meninggal dunia kira-kira 2.30 pagi semalam di Hospital Kajang dan diklasifikasikan mati mengejut serta disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

-- BERNAMA