KPM hasrat wujud sistem pendidikan bertaraf dunia - Dr Maszlee

Bernama
Julai 4, 2018 05:16 MYT
MASZLEE: Segenap lapisan rakyat di negara ini seharusnya mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di samping peningkatan kemahiran secara berterusan. -Gambar fail
Kementerian Pendidikan berhasrat mewujudkan satu sistem pendidikan bertaraf dunia yang menyediakan kemahiran kritikal masa hadapan.
Menteri berkenaan Dr Maszlee Malik berkata oleh itu, segenap lapisan rakyat di negara ini seharusnya mengamalkan budaya pembelajaran sepanjang hayat di samping peningkatan kemahiran secara berterusan.
"Modal insan negara kita seharusnya menerima pendidikan holistik yang seimbang antara bidang akademik dan kemahiran teknikal. Para pendidik pula seharusnya berupaya menyampaikan pembelajaran dan pemudahcaraan yang efisien menerusi teknologi.
"Kita sentiasa bersiap siaga agar ekonomi negara kita lebih berdaya saing dan terkedepan, dipacu oleh tenaga kerja yang berkembang maju supaya ekonomi kita terus produktif, inovatif dan kompetitif," katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian pembukaan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan di Institut Aminuddin Baki (IAB) di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan pegawai khas kepada Menteri Pendidikan, Mahmood Kassim.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Khidmat Latihan) Mistirine Radin.
Mengulas lanjut, menteri itu berkata dalam era Revolusi Industri keempat (RI 4.0), kementerian bukan sahaja mahu menyediakan rakyat yang mampu mendepani RI 4.0 bahkan berpegang teguh kepada nilai, etika dan ciri kerohanian serta mampu mengekalkan identiti sebagai bangsa Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menyeru pemimpin pendidikan melakukan perubahan selari dengan perkembangan RI 4.0.
"Kapasiti pemimpin perlu dibangunkan secara holistik untuk tujuan tersebut. Kompetensi diri, komitmen dan perwatakan pemimpin itu sendiri sangat penting dalam menyediakan diri pemimpin sekolah yang mampu menangani perubahan ini," katanya.
Seminar empat hari itu yang memasuki kali ke-25 penganjurannya dan bertemakan Transformasi Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Menghadapi Revolusi Industri Ke-4 diikuti 402 peserta.
-- BERNAMA
#Dr Maszlee Malik #ekonomi #Kementerian Pendidikan #Menteri Pendidikan #pendidikan #rakyat #sekolah #teknologi
;