KPM, Fadhlina adakan sidang media khas minggu depan
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 10, 2022 12:15 MYT
Disember 10, 2022 12:15 MYT
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan satu sidang media khas minggu hadapan bagi memperincikan isu berbangkit dan pendirian kementerian berhubung isu-isu pendidikan negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini pihaknya sedang dalam proses mendengar pandangan, kritikan serta konsultasi berkaitan isu-isu pendidikan.
Jelasnya, konsultasi akan diadakan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, pengarah-pengarah pendidikan, guru-guru, pemegang taruh, ibu bapa dan pelajar sendiri.
Tambahnya lagi, semua pandangan serta kritikan yang diberikan akan diambil secara serius sebelum sebarang langkah penting dilakukan KPM.
"Ada beberapa perkara yang kita sedang lihat, saya fikir antara perkara dan sekarang ini adalah untuk saya proses, mendengar, mengambil pandangan dan kritikan juga konsultasi.
"Konsultasi ini sangat penting kerana ini adalah kementerian yang cukup besar, jadi konsultasi bersama pasukan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, selain itu juga ia melibatkan pandangan guru dan pemegang taruh pendidikan, ibu bapa, guru dan pelajar sendiri," katanya.
Sementara itu, Fadhlina turut mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying iaitu Ahli Parlimen Tanjung yang baharu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Katanya dengan pelantikan itu, beliau melihat ia antara langkah memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir program Khatan Perdana Kadun JAWI di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Sabtu.
Program yang disertai 100 kanak-kanak itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.