KPM disaran guna kaedah PdP bersemuka secara bergilir untuk bantu murid kurang mampu

Astro Awani
Januari 26, 2021 09:26 MYT
KPM) disaran menggunakan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka, terutamanya kepada murid yang kurang mampu serta yang tidak mempunyai capaian internet yang baik di rumah. -Gambar hiasan/Sinar Harian
SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disaran menggunakan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka, terutamanya kepada murid yang kurang mampu serta yang tidak mempunyai capaian internet yang baik di rumah.
Pandangan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia, Profesor Dr Omar Yaakob yang bimbang dengan situasi menimpa sebilangan besar murid ketika menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Beliau berkata, generasi yang tersisih tersebut perlu dipandang serius oleh KPM supaya tidak berlaku keciciran, lapor Sinar Harian.
“PdP secara bersemuka boleh dilaksanakan bukan hanya untuk kelas peperiksaan tetapi kepada semua kelas dengan kaedah bergilir-gilir di mana murid dibenarkan hadir ke sekolah secara bergilir.
“Misalnya Tahun Lima dan Enam pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala Tahun Satu, Dua, Tiga pada hari Selasa dan Khamis sehingga keadaan benar-benar pulih.
"Giliran juga boleh dibuat mengikut minggu. Pendekatan berbeza perlu diusahakan bagi kawasan yang berlainan.
"Autonomi wajar diberikan kepada Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah dengan nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat ubah suai proses Pendidikan, kurikulum dan PdP.
“Dengan itu, sekolah dapat diuruskan dengan lebih optimum,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Omar berkata, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah waktu pelajaran, sukatan hendaklah dilaksanakan mengikut kemampuan murid.
Pensyarah Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Che Hasniza Che Noh berpendapat guru dan ibu bapa perlu lebih kerap berhubung dan berinteraksi bagi melancarkan proses PdPR.
Katanya, media sosial boleh dijadikan sebagai medium komunikasi di antara guru dan ibu bapa bagi mengetahui pencapaian anak-anak serta perlu dimanfaatkan dengan sepenuhnya.
“Kita masih belajar macam mana nak sesuaikan dengan situasi yang baharu.
“Tapi dengan PKP 2.0 sepatutnya kedua-dua pihak sudah bersedia dan boleh menerima kaedah PdPR sekarang ini.
“Perkara itu juga perlu lebih sistematik dari segi penjadualan dan pemantauan,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Annuar Ahmad menyifatkan pembelajaran melalui televisyen jperlu diberi keutamaan berbanding menggunakan internet.
Jelasnya, penggunaan televisyen perlu dibuat secara berjadual memandangkan akses pembelajaran daripada medium itu boleh mencecah hampir 90 peratus berbanding gajet kerana sebanyak 39.6 peratus pelajar tidak mempunyainya.
“Kalau anak ramai mungkin yang sekolah rendah pagi dan menengah sebelah petang, asalkan ia berjadual dan semua mendapat peluang,” jelasnya.
#KPM #PdP secara bersemuka #Capaian internet #Omar Yaakob #Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia #PdPR #hadir ke sekolah secara bergilir
;