KPM diminta tingkat penguasaan BM, matematik, sains komputer, agama - Anwar
Fareez Azman
November 7, 2023 14:19 MYT
November 7, 2023 14:19 MYT
BANGI: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta memberikan lebih tumpuan kepada meningkatkan mutu pendidikan terutama penguasaan bahasa Melayu, matematik, sains komputer dan agama di sekolah-sekolah mulai Januari tahun hadapan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu akan dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.
"Prasarana kita jelaskan (siapkan), yang penting mulai Januari tahun depan saya nak tekankan mutu pendidikan... perbahasan KPM tidak payah fikir masalah lain.
"Tumpu sepenuhnya bagaimana nak perbaiki penguasaan bahasa Melayu, matematik, sains komputer dan agama," jelasnya.
Ujar Anwar, selain guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu terlibat sama membincangkan kaedah terbaik meningkatkan mutu pendidikan anak-anak.
"PIBG saya minta bincang bagaimana nak galakkan ibu bapa beri perhatian lebih tiap malam... bagaimana anak-anak tumpu ulang kaji sekurang-kurangnya satu jam.
"Negara kita tak boleh terangkat, kalau mutu pendidikan kita tak boleh maju," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut jelas Anwar, perkara berkenaan telah disampaikan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Kerajaan Madani jelasnya, sentiasa memberikan tumpuan kepada pembaikan infrastruktur sekolah demi keselesaan murid-murid.
Justeru, adalah tidak munasabah sekiranya mutu pendidikan masih di takuk lama meskipun fasiliti dan infrastruktur asas ditambah baik.
"Saya bagitau kepada saudari Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Datuk Seri Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) tumpuan kita meningkat dan mengangkat mutu pendidikan, itu cabarannya.
"Sekolah dah elok, tandas dah siap tunggu apa lagi... tapi prestasi masih sama, itu tidak boleh kita terima. Minta kemudahan bantuan kita bantu, tahun ini lebih baik... tapi prestasi murid-murid tak berubah, kita tak boleh terima.
"Saya harap dengan politik sudah stabil, kita nak tumpu pembangunan ekonomi, sekolah... saya akan gesa pada Jumaat ini... saya nak tumpu mulai Januari 2024, Ketua Setiausaha Negara, seluruh kementerian dan guru besar," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi di sini pada Selasa.
Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangaan Bandar Baru Bangi siap dibina dalam tempoh tiga bulan merangkumi bangunan empat bilik darjah baharu, dua tandas dan pembaikan pulih bumbung sekolah berkenaan dengan kos keseluruhan RM5.6 juta.