Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta supaya segera mengambil tindakan untuk membetulkan kesilapan dalam modul aktiviti integrasi Buku Teks Pendidikan Moral Tahun 1 yang menggunakan kata 'magsukul' dalam Bahasa Kadazandusun apabila mengucapkan 'terima kasih'.

Naib Presiden Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Sabah (Pekadin) Simon Molubi berkata ungkapan 'terima kasih' dalam bahasa Kadazan adalah 'kotohuadan' manakala bahasa Dusun pula adalah 'pounsikou' atau 'kotoluadan' atau 'kounsikou' dan bukan 'magsukul'.

Beliau berkata umum mengetahui ungkapan 'magsukul' adalah bahasa Bajau pantai timur khususnya di Semporna, dan sepatutnya penulis atau penerbit buku itu yang sememangnya berpendidikan dan berpengetahuan tentang sosial budaya di negara ini tidak melakukan kesilapan itu.

"Penerbit atau penulis sepatutnya meneliti dan menyemak semula fakta sebelum menerbitkan buku kerja tersebut. Tidak kira sama ada buku kerja itu terbitan swasta atau sebaliknya, fakta yang salah perlu segera diperbetulkan bagi mengelak kekeliruan.

"Ini penting kerana buku ini diguna pakai sebagai bahan pembelajaran untuk murid sekolah rendah, sekali gus bakal membentuk pemikiran mereka apabila dewasa nanti. Kita tidak boleh samakan buku kerja sekolah dengan bahan dalam buku komik, lucu dan komedi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Simon berkata demikian ketika mengulas kemunculan petikan ucapan terima kasih pelbagai bahasa 'Kadazan-Magsukul' dalam buku kerja tersebut yang disebar luas atau ditularkan melalui media sosial semalam, dan berharap isu itu tidak dipolitikkan "meskipun ada pihak yang berasa tidak puas hati".

"Kita serahkan kepada pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya. Kita seharusnya pertahankan konsep 1Malaysia yang sentiasa mengutamakan perpaduan kaum di negara ini.

"Walaupun kesilapan itu kecil namun ia menunjukkan sikap kurang sensitif penulis atau penerbit terhadap kedudukan sosial budaya negeri Sabah dalam gagasan Malaysia, dan Pekadin berharap perkara seumpama ini tidak berulang," katanya.

-- BERNAMA