KPM diminta beri kuota khas ambil guru Sabah, Sarawak - Armada Bersatu

Bernama
Disember 19, 2021 09:15 MYT
JOHAINIZAMSHAH: Jelas terbukti Sabah dan Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru, oleh itu, saya mengusulkan menerusi pengambilan ini, berilah kuota yang khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak. - Foto Facebook Nizam Hj Johari
KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan Armada Bersatu meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberi kuota khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak dalam program pengambilan khas guru secara 'one-off' untuk mengisi kekosongan jawatan itu di kedua-dua negeri berkenaan.
Exco Armada Nasional Johainizamshah Johari berkata kuota khusus itu dapat menjimatkan kos kerajaan bagi penempatan guru di dua negeri berkenaan selain membuka peluang pekerjaan untuk rakyat.
"Pada tahun ini, kita lihat KPM akan membuat pengambilan khas guru secara 'one-off' bagi mengisi kekosongan jawatan guru yang dihadapi di seluruh negara terutama di Sabah, Sarawak, Johor dan Selangor.
"Pendedahan ini jelas membuktikan bahawa Sabah dan Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru. Justeru, saya mengusulkan menerusi pengambilan ini, berilah kuota yang khusus untuk rakyat Sabah dan Sarawak.
"Ini perlu diberikan perhatian kerana pada tahun ini, dilaporkan seramai 840 guru berasal dari Semenanjung ditempatkan di Sabah dan Sarawak bagi tempoh 2018 hingga 2021 bagi memenuhi keperluan opsyen di dua negeri itu," katanya semasa membahaskan ucapan dasar Ketua Armada pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu kali ketiga di sini.
Sementara itu, Ketua Armada Perak Faizul Ismail mencadangkan KPM supaya mengkaji silibus pembelajaran di sekolah selaras dengan pindaan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik diwartakan.
"Kajian silibus perlu melibatkan pelajar berusia 16 tahun bagi menimbulkan kesedaran kepada mereka sebagai pemilih," katanya.
Terdahulu, ucapan dasar Ketua Armada Bersatu dibahaskan selama lima jam bermula 2.30 petang oleh 17 anggota perwakilan.
Perhimpunan itu kemudian diteruskan dengan ucapan penggulungan dan penangguhan oleh Ketua Armada Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Perhimpunan Agung Tahunan Armada berlangsung secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (Mitec) dengan dihadiri 768 anggota perwakilan dari seluruh negara.
-- BERNAMA
#Armada Bersatu #kuota khusus untuk rakyat Sabah Sarawak #penempatan guru #Johainizamshah Johari
;