KPM digesa siasat larangan nyanyian lagu tradisi Tamil - Saravanan
Astro Awani
November 25, 2023 19:30 MYT
November 25, 2023 19:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa untuk menyiasat dakwaan mengenai larangan nyanyian lagu tradisi bahasa Tamil sewaktu penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, sisatan tersebut juga perlu dilakukan ke atas pegawai yang mengeluarkan larangan itu yang dilihat 'mencacatkan' perjalanan karnival tersebut.
"Nyanyian lagu salam (Tamil Valthu) yang menjadi tradisi dalam mana-mana majlis Tamil itu semata-mata menggambarkan keindahan bahasa Tamil yang memiliki nilai estetik.
"Lagu ini dinyanyikan di setiap majlis di mana ia menekankan matlamat penerapan unsur sastera Tamil selain menyemai sikap minat membaca dan menekan nilai-nilai murni," katanya di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, media melaporkan Exco Pulau Pinang, Datuk Seri Sundarajoo Somu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Kumaran Krishnan menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim campur tangan dalam perkara itu.
Sundarajoo turut mendakwa sepanduk yang memaparkan gambar tokoh kesusasteraan dan falsafah Tamil, Thiruvalluvar dihalang daripada digunakan pada majlis itu.
Sebagai reaksi balas, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menerusi kenyataan, berkata KPM prihatin berhubung isu tular larangan nyanyian lagu tradisi ketika penganjuran Karnival Bahasa Tamil Peringkat Kebangsaan 2023.
Menurut JPNPP, KPM tidak pernah menghalang nyanyian lagu tradisi dalam pelaksanaan acara bahasa, seni dan kebudayaan.
Bagaimanapun kata kenyataan itu, JPNPP sudah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa hadapan.