KPM digesa nilai semula pengurangan cuti sekolah, pindaan takwim dibuat tergesa-gesa
Rahimah Abdullah
Jun 23, 2020 21:33 MYT
Jun 23, 2020 21:33 MYT
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai semula langkah pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 yang turut melibatkan pengurangan Cuti Pertengahan Penggal 2.
Presidennya, Aminuddin Awang berpendapat keputusan dibuat kementerian itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dengan pihak NUTP.
"Kita harap apa yang dibuat ini akan dibuat penilaian semula dan kita harap NUTP yang mewakili suara guru di peringkat akar umbi akan dibawa berbincang untuk menentukan apa sahaja melibatkan guru supaya kita ada maklumat di peringkat bawah tentang apa sahaja yang berlaku.
"Kita hanya mendapat berita sama seperti guru lain, apabila ia tular di media sosial dan kenyataan dikeluarkan KPM. Ini adalah suatu yang mengejutkan kita. Kita kesal kerana kita tidak dibawa berbincang. Sekiranya kita dibawa berbincang, kita akan dapat memberikan pandangan dari sudut guru-guru di peringkat bawah," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Malah katanya, pindaan takwim berkenaan akan memberi masalah kepada guru-guru yang telah membuat persediaan awal mengikut takwim sedia ada.
"Keputusan secara tergesa-gesa ini kita jangkakan akan memberikan masalah kepada guru-guru kerana mungkin ramai kalangan mereka yang telah membuat perancangan berdasarkan takwim awam. Kita juga bimbang dengan keadaan sekolah nanti apabila hujung tahun, apabila berlaku sesi persekolahan terutama di negeri Pantai Timur, akan mengalami musim Tengkujuh dan banjir. Ia akan menjadi halangan kepada pelajar untuk hadir ke sekolah. Pada masa sama, mungkin ada sekolah yang akan dijadikan pusat pemindahan banjir," ujar beliau.
Justeru, NUTP berharap cuti pertengahan penggal 2 tidak dikurangkan berikutan guru-guru tetap melaksanakan tugas pengajaran dari rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mengenang jasa dan pengorbanan warga pendidik itu.
KPM pada Selasa melakukan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 bagi membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran murid.
Pindaan melibatkan Cuti Pertengahan Penggal 2 yang telah dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor dan Wilayah Persekutuan).
#Astro
#Astro Awani
#COVID-19
#guru
#Kementerian Pendidikan
#Media
#pendidikan
#pengajaran dan pembelajaran
#perintah kawalan pergerakan
#pusat pemindahan
#rumah