KPM cadang pertingkat kadar Bantuan Makanan Pra Sekolah - Fadhlina

Hilmi Malik
Januari 19, 2023 17:43 MYT
Fadhlina berkata, perkara itu juga akan diusulkan menerusi Bajet 2023. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan berusaha untuk meningkatkan kadar Bantuan Makanan Pra Sekolah (BMP) bagi seluruh negara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu juga akan diusulkan menerusi Bajet 2023.
"Kadar makanan mereka sekarang ini RM2 bagi Semenanjung dan RM2.25 di Sabah dan Sarawak jadi jumlah itu secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak akan dapat nutrisi yang secukupnya.
"Kita di KPM sedang berjuang untuk dapat peruntukan yang lebih jadi kenaikan daripada RM2 ke RM2.50 (Semenanjung) dan RM2.25 ke RM2.75 (Sabah dan Sarawak).
"Kita berharap dengan kenaikan ini (BMP) murid-murid akan dapat nutrisi dan makanan yang lebih baik," katanya ketika sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun Baharu KPM di Putrajaya pada Khamis.
Dalam pada itu, Fadhlina yang merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal memaklumkan, sebanyak 118 kelas pra sekolah telah ditambah yang akan beroperasi mulai Mac.
"Ini merupakan penambahan luar biasa dan kesemua 118 kelas ini telah bersedia dari segi infrastruktur, guru, dan juga murid.
"Dari segi kawasan, penambahan ini memang di seluruh negara jadi tidak hanya tertumpu di Sabah dan Sarawak," katanya lagi.
#Kementerian Pendidikan #Fadhlina Sidek #Bantuan Makanan Pra Sekolah #BMP
;