KPM beri keutamaan selenggara 17 projek sekolah daif - Fadhlina
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 13, 2023 14:50 MYT
Januari 13, 2023 14:50 MYT
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan projek penyelenggaraan 17 buah sekolah daif di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak diberi keutamaan dalam usaha memastikan sekolah mendapat kemudahan fasiliti yang terbaik.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kerajaan memandang serius isu sekolah daif dan proses menaik taraf sedemikian amat diperlukan bagi mewujudkan suasana sekolah yang lebih kondusif.
Menurut Fadhlina, ketika ini, kebanyakan sekolah tersebut berdepan dengan masalah seperti kerosakan struktur dan usang.
“Kita sedang lihat dan hendak pastikan penyelenggaraan 17 buah sekolah ini disegerakan mengikut tempoh masa yang ditetapkan supaya kita dapat pindahkan status itu 'sakit' kepada retender (ditender) supaya dapat bergerak dan disiap segera.
“Sekolah itu sudah dibangunkan tetapi ada beberapa masalah lain dan isu lain contohnya kekurangan pekerja, jadi tertangguh dan lewat, kita akan lihat dan segerakan… semua sudah dibina dan hanya tinggal retender dan tinggal di peringkat akhir,” kata beliau.
Fadhlina berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Keledang Jaya, Changkat, di sini, pada Jumaat.
Pada lawatan berkenaan, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada sekolah tersebut bagi penyelenggaraan kantin dan fasiliti sekolah.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh dan mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk kerja-kerja penyelenggaraan kantin dan juga fasiliti sekolah berkenaan yang sudah daif disitu.
Dalam masa sama, Fadhlina berkata, setakat ini, semua projek penyelenggaran sekolah daif sudah mencapai 90 peratus dan akan siap dalam tempoh masa terdekat.
Jelasnya, kebanyakan projek mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah antaranya isu kekurangan pekerja dan kemasukan pekerja asing.