KPM beri keutamaan projek penyelenggaraan sekolah daif - Radzi Jidin
Abd Hadi Che Awang
Disember 20, 2020 20:50 MYT
Disember 20, 2020 20:50 MYT
JITRA: Kementerian Pendidikan akan memberi keutamaan kepada projek penyelenggaraan sekolah daif, kata Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin.
Beliau berkata, kementerian ketika ini sedang melakukan pemantauan khusus di setiap sekolah yang bermasalah dan tindakan sewajarnya akan dilaksanakan selepas penilaian lanjut dibuat.
Menurut beliau, perlaksanaan projek berkenaan juga adalah bagi memastikan keseluruhan pelajar di Malaysia dapat menjalani sesi pembelajaran dalam persekitaran lebih selesa.
"Kementerian juga akan mengambil pendekatan untuk mengklasifikasikan isu-isu kedaifan bangunan sekolah mengikut keutamaan termasuk dalam soal penyenggaraan serta pembinaan kemudahan baharu.
"Tumpuan khusus juga akan diberikan kepada penyelengaraan sekolah dengan bangunan daif di negeri Sabah dan Sarawak.
"Yang paling banyak sekolah dengan bangunan daif ini adalah di negeri Sabah dan Sarawak.
"Sebab tu kementerian mengambil pendekatan untuk turun padang sebab kadang-kadang mungkin terlepas pandang, kadang kadang walaupun ada dalam senarai tetapi kadang-kadang ada keperluan itu cukup mendesak yang perlu didahulukan, jadi itu antara perkara yang sentiasa kita teliti dari semasa ke semasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan "Back to School" Parlimen Kubang Pasu di Pusat Khidmat DUN Bukit Kayu Hitam pada Ahad.
Radzi terdahulu meninjau lapan buah sekolah di negeri Kedah termasuk sebuah sekolah berasrama penuh di Pendang yang dijangka beroperasi pada sesi persekolahan yang akan datang.
Pembinaan dewan terbuka juga akan dilaksanakan secara segera di dua buah sekolah rendah di Changlun selain kementerian akan membaiki beberapa blok bangunan sekolah yang daif di negeri Kedah, katanya.
#Sekolah daif
#Dr Mohd Radzi Jidin
#Kementerian Pendidikan
#penyelenggaraan
#bangunan daif
#Sabah
#Sarawak