KPM beri input cadangan Sarawak perkenal peperiksaan ganti UPSR

Bernama
November 2, 2023 13:26 MYT
Sarawak bercadang merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR dan langkah itu sedang diteliti kerana pihaknya percaya, ujian itu penanda aras sebenar untuk menilai prestasi pelajar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi input kepada Sarawak berhubung cadangan merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid Tahun Enam di semua sekolah kerajaan di negeri itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata ini kerana cadangan itu selaras dengan hasrat KPM untuk mengangkat pentaksiran serta kekuatan sistem pendidikan secara holistik dan bukan hanya berasaskan peperiksaan.
"Kita sentiasa menganggap Sarawak antara negeri contoh yang sentiasa memberi tumpuan kepada pendidikan. Kalau kerangka yang mahu dibangunkan itu bertujuan memperkukuh pentaksiran, pastinya kita akan sokong kerana ia adalah hala tuju KPM iaitu pembangunan holistik (melalui) pentaksiran bukannya peperiksaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Minggu Solidariti Palestin di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Razali di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata negeri itu bercadang merangka sistem penilaian sendiri bagi menggantikan UPSR dan langkah itu sedang diteliti kerana pihaknya percaya, ujian itu penanda aras sebenar untuk menilai prestasi pelajar.
Menurut Roland perkara itu juga amat penting bagi menentukan aliran mana harus ditempatkan pelajar terbabit apabila memasuki pendidikan menengah.
Ditanya sama ada KPM pertimbangkan cadangan itu untuk diperluaskan ke seluruh negeri, Fadhlina berkata pandangan itu perlu mendapat input KPM terlebih dahulu kerana ia baru dibangkitkan.
"Kita akan terus berbincang bagaimana ia boleh diselaraskan, mungkin ia hanya perlu diperkukuhkan sahaja di peringkat sekolah dan negeri Sarawak...KPM akan tengok pengukuhan dan kerangkanya dan input pasti akan datang daripada kementerian.
"Jangan risau, insya-Allah dengan adanya MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan perbincangan jawatankuasa, kita sentiasa ada panduan untuk pelaksanaan apa sahaja program pengukuhan di peringkat negeri," katanya.
-- BERNAMA
#KPM #Sarawak #UPSR #peperiksaan sendiri
;