KPM belum putuskan bila pelajar perlu pakai semula seragam sekolah - Fadhlina Sidek

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 11, 2024 17:26 MYT
Fadhlina berkata, pemakaian sedia ada diteruskan sehingga ia diputuskan kelak. - Gambar fail
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) belum memuktamadkan keputusan berhubung garis panduan pemakaian murid ke sekolah, sama ada perlu kembali memakai seragam atau sebaliknya bagi sesi persekolahan akan datang.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sedang mengumpul pandangan dan input daripada semua pihak berhubung perkara itu.
Justeru jelasnya, pemakaian sedia ada diteruskan sehingga ia diputuskan kelak.
"Kita masih mendengar pandangan dan sumbang saran daripada semua pihak, termasuk pihak berkepentingan seperti ibu bapa dan pemegang taruh berkaitan dengan isu itu, tapi untuk setakat ini kita belum buat sebarang keputusan lagi berhubung perkara tersebut.
"KPM sedang kumpulkan semua input-input itu (sebelum buat keputusan), tapi untuk setakat ini teruskan dengan pemakaian yang ada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja sempena gangguan bekalan air di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Seri Nibong di sini hari ini.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung garis panduan pemakaian seragam, bagi sesi persekolahan tahun 2024.
Pada 3 Mei 2023, KPM membenarkan murid, guru dan anggota kumpulan pelaksana di semua institusi pendidikannya memakai pakaian atau baju sukan ekoran cuaca panas, dan kebenaran khas itu bertujuan mengelakkan sebarang komplikasi kepada kesihatan.
Mengulas mengenai lawatan kerjanya, Fadhlina berkata setakat ini pemantaun dari segi pendidikan memperlihatkan guru-guru bersedia untuk pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), selepas semua sekolah di Pulau Pinang melaksanakan PdPR ekoran gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula semalam.
"Hari ini merupakan lawatan satu hari saya di Pulau Pinang, bagi melihat sendiri dan memantau keadaan tiada air dan ia sedikit sebanyak menjejaskan institusi pendidikan di negeri ini, dan Alhamdulillah sepanjang lawatan menyaksikan komitmen yang tinggi daripada JPN (Jabatan Pendidikan Negeri), PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan sekolah, khususnya guru-guru untuk memastikan pendidikan anak-anak tidak terjejas.
"Sebenarnya ini tempoh yang sangat baik untuk kita perkukuhkan beberapa elemen dalam pendidikan kita, khususnya PdPR dan juga memastikan akses pendidikan kepada anak tetap sampai walau di mana sahaja mereka berada, jadi secara keseluruhan dari segi pendidikan, akses pendidikan tidak ada sebarang masalah," katanya.
Fadhlina berkata dari segi persediaan simpanan bekalan air terutama di sekolah-sekolah yang berasrama, berjalan lancar dan baik malah pada hari ini sudah ada sekolah yang telah mendapat bekalan air.
Sebelum ini media melaporkan semua sekolah di Pulau Pinang kecuali pelajar tingkatan lima dan kolej prauniversiti, akan menjalani sesi PdPR susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari, bermula 10 Jan.
Pelajar tingkatan lima dan kolej prauniversiti akan menjalani pembelajaran seperti biasa di sekolah, susulan peperiksaan yang telah dijadualkan.
#Fadhlina Sidek #seragam sekolah #sesi persekolahan 2024 #baju sekolah
;