KPM belum laksanakan PdPR penuh - Menteri Pendidikan
Hasimi Muhamad
April 28, 2021 14:51 MYT
April 28, 2021 14:51 MYT
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) masih belum dilaksanakan sepenuhnya, setakat ini.
Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata, sebaliknya ketetapan kementerian adalah hanya melaksanakan PdPR dalam tempoh 10 hari selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.
Ia bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan COVID-19 di sekolah sebaik sahaja murid-murid kembali ke sesi persekolahan selepas perayaan, katanya.
"Apa yang kita lihat kes sporadik lebih 60 peratus dan data-data kluster juga menunjukkan hanya dua peratus melibatkan kluster pendidikan.
"Kita tak mahu lebih dua juta murid-murid apabila menyambut hari raya, dan kita tak tahu tahap kepatuhan. Kita tidak mahu anak-anak sekolah membawa jangkitan ke sekolah aan sekiranya ini berlaku, mungkin akan meningkat jangkitan," katanya dalam sidang media khas, di sini.
Mengulas mengenai penutupan sekolah pula, Radzi berkata ketetapan KPM setakat ini adalah menutup semua sekolah di kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperkatatkan (PKPD).
Sementara bagi kawasan PKP, Radzi berkata secara umum sekolah masih lagi dibuka.
"Namun sekiranya ada permohonan daripada kerajaan Negeri melihat bahawa terdapat sekolah-sekolah di dalam PKP yang perlu ditutup, maka kerajaan Negeri akan duduk berbincang dengan KPM dan kita akan lihat dan daripada itu, kita akan membuat ketetapan sama ada sekolah itu boleh ditutup atau tidak," jelasnya.
Selain itu katanya, kementerian juga telah menetapkan sekiranya ada kes positif, sekolah terbabit secara automatik akan ditutup selama dua hari.
"Pada hari pertama pengetua atau guru besar bersama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan duduk bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) uuntuk menilai sama ada tempoh tersebut perlu dilanjutkan atau sebaliknya.
"Sekiranya PKD mendapati penutupan sekolah perlu dilanjutkan, sebagai contoh - tiga hari, sekolah akan patuh dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) akan keluarkan notis penutupan selanjutnya," katanya.
#Radzi Jidin
#Menteri Pendidikan
#PdPR
#Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah
#hari raya
#Aidilfitri
#penularan jangkitan
#COVID-19
#pandemik