KPM bangun sistem kesan murid tercicir, diperkukuh dengan AI

Firdaus Azil
Februari 12, 2025 13:35 MYT
KPM sedang bangunkan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM) bertujuan untuk mengesan pergerakan murid secara komprehensif, termasuk murid yang berisiko cicir, murid cicir, dan kanak-kanak yang berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan.
KUALA LUMPUR: Beberapa langkah telah diambil secara proaktif oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menangani isu keciciran pelajar, antaranya Program Ziarah Cakna, penyediaan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC), modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI), serta modul kajian kes dan amalan terbaik.
Timbalan Menteri KPM Wong Kah Poh berkata, Kementerian turut membangunkan Sistem Pengesanan Murid KPM (SiPKPM) bertujuan untuk mengesan pergerakan murid secara komprehensif, termasuk murid yang berisiko cicir, murid cicir, dan kanak-kanak yang berisiko untuk tidak mendapat akses pendidikan.
Katanya lagi, sistem tersebut juga sedang diperkukuhkan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan strategi menangani keciciran.
“Sistem ini dapat membantu pihak sekolah mengesan murid secara individu bagi melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak di peringkat awal,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Azli ingin mengetahui langkah proaktif Kementerian berhubung isu-isu berkaitan kehadiran, keciciran dan akses pendidikan yang berkualiti bagi setiap kanak-kanak warganegara Malaysia.
Dalam pada itu Wong berkata, Kementerian telah mengenal pasti kemiskinan sebagai salah satu faktor menyumbang kepada keciciran pelajar.
Dalam usaha membantu murid yang kurang berkemampuan, sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan telah disediakan oleh KPM, merangkumi 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum.
Bantuan yang diberikan ini bermatlamat untuk membantu murid yang berisiko daripada tercicir.
“KPM telah menyediakan akses pendidikan digital melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada reformasi pendidikan yang dilaksanakan KPM bertujuan membolehkan murid menerima akses kepada bahan pembelajaran secara digital, tanpa mengira lokasi mereka,” katanya lagi.
Wong berkata, semua usaha tersebut mencerminkan komitmen berterusan KPM dalam menangani masalah tersebut, kerana isu keciciran dan akses pendidikan merupakan isu yang tidak akan dikompromi oleh KPM.
#murid cicir #Kementerian Pendidikan #Wong Kah Woh #Dewan Rakyat
;