KPM ambil alih pendidikan anak-anak GISB bermula 1 Oktober - Fadhlina
Astro Awani
September 23, 2024 11:15 MYT
September 23, 2024 11:15 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil alih urusan pendidikan anak-anak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) bermula 1 Oktober.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata kesemua mereka akan diberikan pendidikan formal bagi memastikan tidak tercicir dalam pembelajaran.
"Alhamdulillah kita telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak baik PDRM mahupun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara pihak berkuasa menguruskan isu yang terkait rapat dengan kebajikan anak-anak ini, KPM akan mengambil alih pendidikan mereka bermula 1 Oktober.
"Anak-anak ini yang ditempatkan di beberapa rumah perlindungan, akan diberikan pendidikan formal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia berdasarkan modul modul khas yang pernah kita laksanakan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan KPM di Putrajaya pada Isnin.
Tambah Fadhlina, KPM meletakkan komitmen tinggi dalam memastikan kesemua anak-anak itu mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Mengulas lanjut, katanya dianggarkan lebih 300 kanak-kanak serta remaja akan mengikuti pembelajaran di rumah perlindungan yang menempatkan mereka ketika ini.
"Jadi kita ambil berat, kita ada komitmen yang tinggi untuk memastikan anak-anak ini dapat mengikuti sepenuhnya pendidikan yang kita bimbang sekiranya mereka tertinggal (tercicir) dalam tempoh siasatan sepanjang proses proses ini berlaku. Jadi kita ambil tanggungjawab itu memastikan pendidikan mereka dapat dijamin," katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu beberapa proses penilaian akan dilakukan termasuk penilaian kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira diikuti psikososial dan kaunseling sebelum memulakan pembelajaran di bawah KPM.
Ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak pengikut GISBH berjaya diselamatkan polis melalui operasi yang dilaksanakan di beberapa negeri sehingga kini.
Fadhlina berkata, KPM akan merangka pelan jangka masa panjang bagi anak-anak itu bersama kementerian berkaitan selepas status mereka dimuktamadkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan mendapat pendidikan rasmi di sekolah.
Fadhlina berkata, konsep sekolah nukleus dan kelas satelit akan digunakan berpandukan satu model dalam Program Jom Belajar, iaitu Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS) diperkenalkan KPM khusus untuk memberi akses pendidikan kepada kanak-kanak Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman dan tidak pernah bersekolah.
Katanya, bagi memenuhi keperluan pendidikan bagi kanak-kanak itu yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program ini akan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) bagi fasa pertama.