KPM aktifkan semula MPPK - Menteri
Hilmi Malik
Disember 15, 2022 16:32 MYT
Disember 15, 2022 16:32 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) seperti yang telah termaktub di bawah Akta Pendidikan 1996.
Menurut Menterinnya, Fadhlina Sidek, langkah itu sebagai usaha untuk memperoleh idea serta pandangan kepada KPM dalam merangka hala tuju pendidikan negara dengan lebih baik.
“Saya akan mengambil pendekatan yang lebih holistik melalui proses konsultasi dan musyawarah dengan rakan strategik serta semua pihak yang berkepentingan.
“Saya juga akan memastikan keseluruhan ekosistem pendidikan dilaksanakan mengikut proses yang ditetapkan dan berlandaskan Akta Pendidikan 1996.
Perakara ini termasuklah memikirkan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang akan berakhir pada tahun 2025,” katanya ketika sidang media khas KPM pada Khamis.
Ditanya mengenai individu yang akan membarisi MPPK, Fadhlina memberitahu, ia akan diputuskan dalam masa terdekat.
"Buat masa sekarang nama ahli anggota majlis belum dimuktamadkan dan proses dilakukan dalam masa terdekat," katanya.
Fadhlina berkata, beliau yakin bahawa perubahan mampu dibuat dengan kerjasama semua pihak terutamanya perubahan yang akan dibuat untuk pendidikan negara.
Perkara itu katanya dapat dilihat selepas sesi pertemuan bersama pihak kepimpinan KPM termasuk taklimat yang telah dikongsikan berhubung isu yang berbangkit di bawah tanggungjawab kementeriannya.
“Adalah menjadi hasrat saya untuk melihat murid ceria, guru bahagia dan ini akan jadi keutamaan KPM. Oleh itu KPM akan bekerjasama rapat dengan semua pihak terlibat bagi memastikan hasrat ini tercapai,”
tambahnya.
Antara yang akan bekerjasama untuk melaksana inisiatif berkenaan termasuk Persatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Persatuan Guru Besar Malaysia (PGBM) dan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKM).
#Kementerian Pendidikan
#Fadhlina Sidek
#Akta Pendidikan 1996
#Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia