KPM akan kenal pasti punca pelajar gemar lakukan aktiviti waktu malam
Bernama
Februari 21, 2017 07:05 MYT
Februari 21, 2017 07:05 MYT
Kementerian Pendidikan akan mengadakan sesi perbincangan dengan ibu bapa serta guru bagi mengenal pasti punca pelajar gemar melakukan aktiviti waktu lewat malam sehingga menjejaskan proses pembelajaran.
Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata pihaknya menerima apa sahaja pandangan dan cadangan bagi mengatasi masalah dan untuk menambah baik sistem pendidikan negara.
"Apabila pelajar mahu melakukan sesuatu di luar waktu sekolah ia bukan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan. Bagaimanapun kami terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kementerian mempunyai cara atau jalan penyelesaian bagi mengelak kejadian seperti kemalangan maut yang membabitkan lapan pelajar di Johor Bahru berulang.
Terdahulu, Kamalanathan menyerahkan Cek Peruntukan Khas Penyelenggaraan Kecil Tahun 2016 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Perak di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kamalanathan berkata kementerian tidak bercadang untuk menambah aktiviti ko-kurikulum di sekolah bagi memastikan para pelajar tidak melakukan aktiviti di waktu malam .
Beliau berkata setakat ini aktiviti ko-kurikulum mencukupi dan tidak pernah mendapat aduan daripada ibu bapa mengenainya.
"Kita juga tidak boleh membiarkan mereka (pelajar) berada di sekolah sepanjang hari, mereka juga perlu melakukan aktiviti ko-kurikulum sebelum pulang ke rumah dan berehat.
Kita perlu mengambil kira pelbagai aspek sebelum melaksanakan sesuatu kerana kita tidak mahu melaksanakan sesuatu perkara yang orang tidak suka," katanya.
-- BERNAMA