KPM akan ambil langkah segera tambah baik kedudukan PISA

Ridauddin Daud
Mac 6, 2024 12:20 MYT
Menurut Wong Kah Woh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil langkah segera bagi memperbaiki kedudukan negara dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA). - Gambar Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengambil langkah segera bagi memperbaiki kedudukan negara dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, usaha itu perlu dilakukan susulan penurunan kedudukan negara pada 2022.
“Dapatan PISA 2022 menunjukkan bahawa Singapura, Vietnam dan Brunei mengatasi Malaysia dalam literasi domain ketiga-tiga yang ditaksir, manakala Malaysia mengatasi Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja dalam literasi domain ketiga-tiga yang ditaksir.
Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) juga melaporkan bahawa sepanjang tempoh pandemik COVID-19 dari tahun 2020 sehingga 2022, terdapat banyak sistem pendidikan negara di seluruh dunia yang terkesan akibat pematuhan terhadap arahan kawalan pergerakan dan tempoh penutupan sekolah yang agak lama,” katanya.
Berdasarkan penurunan itu, Kah Woh berkata, KPM telah mengenal pasti beberapa aspek baharu yang perlu ditambah baik.
Antaranya, menyemak dan menilai kandungan kurikulum kebangsaan dengan memberi penekanan terhadap keperluan kandungan yang berfokus dan mendalam.
Selain itu, katanya, penambahbaikan juga akan dilakukan dari sudut menggalakkan penggunaan peranti digital dalam pembelajaran dan meneliti semula syarat agihan bantuan yang memberi fokus kepada murid sosioekonomi rendah.
Kerajaan juga, jelas beliau, akan meneliti semula agihan sumber secara optimum merangkumi guru, peranti, infrastruktur, bahan sumber dan sebagainya.
"Ia juga di samping menambah baik keyakinan murid untuk belajar secara terarah kendiri (self-directed learning).
“Kita juga akan menyokong pembelajaran anak di rumah melalui pelibatan ibu bapa selain meningkatkan keupayaan guru sebagai pembimbing, pemudah cara dan pendidik yang mempunyai pengaruh yang besar terhadap kesejahteraan dan pembelajaran murid," katanya.
Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN - Padang Terap) berhubung tindakan KPM berikutan prestasi merosot Malaysia dalam PISA 2020 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).
#Kementerian Pendidikan #KPM #PISA #pendidikan
;