KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan agensi-agensi di bawahnya perlu mampu bertindak sendiri dengan menggunakan data-data sedia ada untuk mengatasi isu keciciran pelajaran.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, birokrasi wajar bergerak tanpa perlu bergantung kepada orang politik untuk campur tangan.

“Pada saya, yang lebih penting daripada aspek politik (yang memberi kesan kepada pendidikan adalah) sejauh mana birokrasi agensi dan kementerian boleh bergerak tanpa terlalu bergantung kepada tekad politik.

“Bermaksud agensi boleh bergerak sendiri dengan menggunakan data-data yang menunjukkan keciciran pelajaran akan berlaku dengan risiko yang semakin tinggi.

“Tindakan-tindakan segera boleh diambil dengan tanpa menunggu datangnya seorang pemimpin politik di agensi atau kementerian tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.


KPM, agensi perlu mampu atasi keciciran pelajaran tanpa bergantung kepada orang politik

Jelas Anuar, statistik menunjukkan kadar keciciran pelajaran dalam kalangan murid sekolah menengah adalah lebih tinggi berbanding murid sekolah rendah, masing-masing pada kadar 0.99 peratus dan 0.07 peratus.

Menurutnya, punca utama keciciran ini berlaku adalah kerana murid-murid sekolah menengah terbabit tidak dapat menguasai asas pelajaran di peringkat lebih rendah menyebabkan mereka sukar mengikuti pelajaran, seterusnya memilih untuk berhenti sekolah.

“Kebimbangan kita ialah mereka (murid-murid) tidak dapat menamatkan pembelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Data-data dan kajian menunjukkan apabila murid-murid berdepan dengan keciciran pembelajaran, mereka tidak mahir dengan kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M).

“Ketika mereka masuk ke peringkat sekolah menengah dengan silibus yang lebih tinggi, teks yang perlu dibaca semakin banyak, matematiknya semakin sukar, kebanyakan murid-murid ini akan mengambil sikap berhenti belajar dan mula mencari pekerjaan,” katanya lagi.

Pada 18 Mac lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan pelaksanaan empat intervensi kurikulum bagi menangani isu keciciran pembelajaran.

Empat langkah tersebut melibatkan pengenalan dan seterusnya penataran Dokumen Penjajaran KSSR (Semakan 2017) Edisi 3 bagi mata pelajaran Sains dan Matematik Tahap I yang akan digunakan mulai Sesi Akademik 2024/2025.

Selain itu, langkah intervensi terbabit juga merangkumi pengesanan literasi dan numerasi murid Tahun 1, serta memudahkan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).


Dialog Tiga Penjuru: Keciciran pembelajaran, merisaukan…