KPLB fokus pembangunan sosioekonomi dan modal insan
Bernama
Januari 30, 2020 05:21 MYT
Januari 30, 2020 05:21 MYT
Pembangunan sosioekonomi dan modal insan masyarakat luar bandar akan menjadi fokus utama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sepanjang tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Rina Harun.
Beliau berkata masyarakat di luar bandar perlu diberi peluang yang adil dan saksama dalam menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dari segi infrastruktur yang disediakan dan yang lebih utama pembangunan sosioekonomi dan modal insan.
"Antara golongan sasaran yang sedia ada adalah golongan belia yang sudah tamat persekolahan, tetapi menghadapi kesukaran dalam transisi dari alam persekolahan ke alam pekerjaan.
"Pasaran modal insan yang sedia ada ini akan dapat menampung kekurangan di dalam pelbagai sektor pekerjaan sekiranya mereka diberi sokongan dan berada di dalam suatu program yang lebih khusus berdasarkan keperluan ekonomi semasa," katanya semasa berucap di Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Rakan Strategik KPLB, di sini pada Khamis.
Menerusi Visi 'Luar Bandar Sejahtera' 2030, katanya kementerian bukan sahaja menyediakan dan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur di luar bandar seperti air bersih, jalan raya, elektrik dan rumah kepada golongan miskin, tetapi yang lebih utama mempertingkatkan masyarakat luar bandar dari segi sosioekonomi dan modal insan.
Dalam pada itu, Rina juga menyeru syarikat korporat dan pelabur untuk melihat peluang baharu atau yang sedia ada di luar bandar untuk membantu membangunkan modal insan luar bandar yang produktif dan berkeupayaan ekonomi.
"Di Malaysia, terdapat lebih daripada 15,000 kampung dan sudah tentu dengan jumlah yang banyak ini, kementerian memerlukan sokongan semua pemegang taruh termasuk badan korporat, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta," katanya.
-- BERNAMA
#Datuk Seri Rina Harun
#ekonomi
#Kementerian Pembangunan Luar Bandar
#kemudahan infrastruktur
#kerajaan
#luar bandar
#modal insan
#pelabur
#Produktif
#sekolah
#sektor pekerjaan
#sosioekonomi
#syarikat korporat